top of page

'Kerap ke luar negara untuk cari pelaburan' - PM Anwar


PM Anwar keluar negara kerana mencari pelaburan baharu, menyediakan peluang pekerjaan. Amir Haziq/PMO
PM Anwar keluar negara kerana mencari pelaburan baharu, menyediakan peluang pekerjaan. Amir Haziq/PMO

Datuk Seri Anwar Ibrahim membidas pihak yang menegurnya agar “jangan berjalan banyak sangat” atau kerap melakukan lawatan ke luar negara, sedangkan perkara itu penting dilakukan untuk meningkatkan kemasukan pelaburan kepada negara.


Perdana Menteri berkata lawatannya ke luar negara dipenuhi dengan pertemuan bersama anggota delegasi sebelum disusuli mesyuarat dua hala dan sebaik pulang ke tanah air beliau terus menyambung tugas di dalam negara.


"Pelaburan membantu memesatkan pembangunan (negara). Soalnya apakah saya perlu terus berkunjung ke luar negara? Ada yang tegur, ‘kita jangan berjalan banyak sangat’.


"Dia tak tahu kita datang malam, tak sampai hotel terus ada dua pertemuan kemudian sambung lagi, duta tambah pre-council hingga tengah malam. Kemudian pagi-pagi, 7 pagi sudah ada mesyuarat dua hala. Itu tugas kita sampai sekarang dan terus balik bekerja.


"Saya tak ambil satu hari pun untuk bermain golf," kata beliau kepada media Malaysia selepas menyampaikan ucaptama pada Forum Masa Depan ASEAN kedua anjuran Kementerian Luar Vietnam.


Ia turut dihadiri Perdana Menteri Vietnam, Pham Minh Chinh, Perdana Menteri New Zealand Christopher Luxon dan Presiden Timor-Leste Jose Ramos-Horta.


Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata sebagai sebuah negara dagang, Malaysia memerlukan pelaburan untuk menyelesaikan masalah berkaitan pekerjaan atau mewujudkan peluang pekerjaan serta meningkatkan keupayaan ekonomi negara dan rakyatnya.


Anwar yang dalam rangka lawatan kerja dua hari ke Vietnam tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Noi Bai di Hanoi pada 7.10 malam tadi.


Sebaik tiba di Hanoi, Perdana Menteri terus mengadakan kunjungan hormat ke atas Setiausaha Agung Jawatankuasa Pusat Parti Komunis Vietnam To Lam di ibu pejabat parti berkenaan dan menghabiskan masa kira-kira 30 minit berbincang tentang pelbagai perkara melibatkan kepentingan dua hala, memetik laporan Bernama.


Selepas itu, Anwar mengadakan kunjungan hormat terhadap Ramos-Horta dan meluangkan masa kira-kira satu jam bersama pemimpin itu berbincang tentang isu dua hala Malaysia dan Timor-Leste.


Selepas kunjungan hormat terhadap Ramos-Horta, Perdana Menteri mempengerusikan mesyuarat pra-majlis dengan delegasi Malaysia yang turut sama dalam lawatan kerjanya di Vietnam.


Seawal 7.30 pagi (waktu tempatan) hari ini, Anwar telah mengetuai delegasi Malaysia dalam mesyuarat dan bersarapan bersama delegasi Vietnam yang diketuai oleh Pham dengan isu-isu kepentingan bersama menjadi perhatian kedua-dua pihak.


Sebelum pulang ke tanah air, Anwar melakukan kunjungan hormat terhadap Presiden Republik Sosialis Vietnam Luong Cuong, sekali gus menamatkan lawatan kerja dua harinya yang padat dengan pelbagai atur cara rasmi.


Beliau berkata Malaysia akan menerima lawatan daripada pemimpin-pemimpin Afrika Selatan bulan depan diikuti China.


"Pada April Presiden China Xi Jinping. Maknanya bila kita tunjukkan persahabatan beliau pun datang, bila datang (ke Malaysia) itu, beliau datang dengan rombongan perniagaan, berpuluh dan beratus orang, memberikan pendedahan kepada peluang-peluang (perniagaan dan perdagangan) di Malaysia," kata Perdana Menteri.

Comments


PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
8,075
76
15,456
Total
2,285,640
26,759
2,116,021

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
393,631
6,015
582,401
Total
236,060,214
4,821,346
211,396,635

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page