Modul Kursus Integriti dan Antirasuah (KIAR) diangkat sebagai mata pelajaran wajib di semua institusi pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET) di seluruh negara.
Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Datuk Seri Norazlan Mohd Razali memaklumkan, kerajaan sudah memberi persetujuan mengenai perkara itu melalui mesyuarat Majlis Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional Negara (MTVET) dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, pada 20 Mei lalu.
"SPRM peka dengan hasrat kerajaan untuk memperkasakan bidang TVET selari dengan keperluan revolusi industri 4.0, kerana banyak pertambahan peluang latihan dibuka kepada pelajar.
"Oleh itu, modul KIAR ini dijadikan sebagai sebahagian daripada pendidikan TVET sedia ada sebagai satu usaha berterusan, untuk melahirkan tenaga kerja dan usahawan yang tidak berkompromi terhadap sebarang perlakuan rasuah dalam urusan perniagaan.
"Ini bagi memastikan industri yang didokong oleh TVET terutamanya industri kecil dan sederhana, tidak tercemar serta bebas dengan isu rasuah," katanya dipetik.
Melalui kenyataan sama Norazlan menegaskan, langkah melaksana modul atau Kursus Integriti dan Antirasuah kepada pelatih TVET sejajar dengan Strategi Pembanterasan Rasuah Nasional (NACS) 2024-2028 iaitu Strategi 1 Substrategi 7.
Beliau turut memaklumkan, suruhanjaya itu akan bertanggungjawab menyediakan tenaga pengajar Latihan Jurulatih (TOT) dan pensyarah bagi modul-modul teknikal yang berkaitan dengan Akta SPRM 2009.
Yorumlar