Kerajaan Persekutuan mengumumkan untuk menyediakan bantuan khas kewangan sebanyak RM500 kepada lebih 14,000 penjawat awam negeri Terengganu.
Menurut Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Anwar Ibrahim, bantuan itu khusus untuk mengurangkan beban akibat musibah yang menimpa.
"Seperti mana Menteri Besar pernah sebut (sebelum ini) ganjaran untuk penjawat awam Terengganu 14,000 orang, RM500 itu saya setuju luluskan bulan ini yang berjumlah RM7.4 juta.
"Itu peruntukan khas kerana saya mahu mereka bekerja. Tak mahu dia fikir masalah masalah ini, jadi kita luluskan," katanya kepada pemberita selepas melawat mangsa banjir di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan, Kampung Telaga Papan, Setiu.
Sebelum ini Kerajaan Persekutuan telah memperuntukkan kira-kira RM50 juta bagi membantu mangsa banjir di Kelantan dan Terengganu menerusi peruntukan daripada Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).
"Untuk negeri lain kita sedang pantau, tidak mahu jadi salah faham... akan ikut keperluan dan saya jangka jumlah keseluruhan (negeri-negeri terkesan banjir) mengalami (kerugian) banjir kali ini hampir mencecah RM1 bilion," katanya dilapor Bernama.
Selain itu, Anwar berkata tiada keperluan untuk mengisytiharkan darurat meskipun situasi banjir terutama di Kelantan dan Terengganu semakin serius.
Beliau berkata ini kerana seluruh jentera pasukan keselamatan termasuk Angkatan Tentera Malaysia (ATM); Polis Diraja Malaysia (PDRM); Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM); serta Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan seluruh jentera Persekutuan, negeri dan daerah mampu menangani masalah bencana ini dengan baik.
"Jadi tidak ada keperluan sama sekali untuk diisytihar darurat," katanya.
Perkembangan terbaharu banjir semakin memburuk dengan lebih 152,377 orang dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di 7 negeri yang terlibat di Semenanjung Malaysia.
*Kredit foto: Afiq Hambali/PMO
Komentarze