Oleh: Abdullah Zaid
Kerajaan sedang giat mengadakan sesi libat urus dan turun padang bagi memastikan petani dan pekebun kecil terus mendapat manfaat Program Bantuan Subsidi MADANI.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, kerjasama melibatkan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dibuat bagi membolehkan pendaftaran secara langsung kepada para petani dan pekebun kecil.
"Setakat ini lebih 100 sesi telah diadakan KPKM dan Kementerian Perladangan dan Komuniti (KPK) serta jabatan dan agensi pelbagai di semua lokasi seluruh negara.
"Kerajaan akan sentiasa memantau situasi semasa, termasuk pelaksanaan penyasaran semula subsidi diesel dan menambah baik dari semasa ke semasa bagi memastikan golongan yang memerlukan terus mendapat perhatian kerajaan," katanya di Persidangan Dewan Negara, hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Senator Datuk Dr Azhar Ahmad mengenai langkah kerajaan dalam memastikan golongan yang layak mendapat bantuan subsidi diesel tidak ketinggalan, terutama di luar bandar.
Mengulas lanjut kata Amir, kerajaan telah menyediakan bantuan tunai RM200 sebulan kepada petani dan pekebun kecil yang ditakrifkan jualan hasil mereka RM50,000 hingga RM300,000 setahun.
"Berdasarkan bantuan tersebut, petani dan pekebun kecil yang memenuhi kelayakan dengan berdaftar ke portal Geo Agro KPKM dan agensi di bawah KPK layak memohon bantuan tunai RM200 sebulan.
"Selain itu, petani dan pekebun kecil yang layak turut mendapat bantuan SKDS 2.0 bagi kenderaan logistik supaya kos pengangkutan pengeluaran ke pasaran tidak meningkat," ujarnya lagi.
Comments