kerajaan tidak pernah menyekat atau menapis kandungan di internet dalam negara ini
Menteri Komunikasi dan Digital (KKD) Ahmad Fahmi Fadzil (PH - Lembah Pantai) berkata kementerian juga tidak mengeluarkan sebarang lesen beroperasi kepada penyedia platform media sosial termasuk aplikasi permesejan seperti WhatsApp, Wechat, MiChat dan lain-lain.
"Bagaimanapun, bagi aplikasi yang secara jelas melanggar peruntukan undang-undang seperti membuat penipuan, penyamaran dan sebagainya, tindakan sewajarnya boleh diambil termasuk menyekat aplikasi berkenaan daripada diguna pengguna di Malaysia.
"... tindakan-tindakan penguatkuasaan yang dijalankan kerajaan adalah berdasarkan aduan daripada masyarakat awam dan pihak yang terkesan berlandaskan lunas perundangan sedia ada," katanya dipetik Bernama pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.
Fahmi menjawab soalan P. Prabakaran (PH-Batu) mengenai sama ada kerajaan berhasrat mengkaji semula kebenaran penggunaan aplikasi Telegram, Wechat, Michat dan beberapa aplikasi lain yang dilihat banyak pengaruh negatif untuk generasi muda.
Bagaimanapun, katanya, jika terdapat pihak atau individu melakukan sebarang tindak-tanduk atau memuat naik kandungan yang melanggar peruntukan undang-undang maka tindakan perundangan boleh diambil terhadap pihak dan individu berkenaan, bukan kepada platform yang menjadi medium perkongsian kandungan atau maklumat.
コメント