
Menteri Dalam Negeri (KDN) Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menempelak sikap pihak tertentu yang cuba memberi persepsi bahawa kerajaan bersikap 'double standard' dalam isu berkaitan raja, agama dan kaum (3R).
Tegasnya, komitmen kerajaan menangani perkara berkaitan isu 3R telah dizahirkan menerusi penubuhan pasukan khas Unit Siasatan Jenayah Terkelas yang memfokuskan siasatan terperinci selepas menerima aduan berkaitan isu tersebut.
"Yang jelas, sekiranya ada aduan sudah tentu polis akan menjalankan siasatan.
"Bahkan di Bukit Aman (sudah) bermula sejak tahun saya minta kepada Ketua Polis Negara ketika itu Tan Sri Arcyl Sani, segera diwujudkan Unit Siasatan Jenayah Terkelas khusus untuk aduan berkaitan 3R.
"Apabila kertas siasatan kes itu diselesaikan pasukan khas, ia diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya bagi pendakwaan.
"Apabila di mahkamah, apakah polis ada autoriti untuk memastikan ia berakhir dengan pertuduhan? Kita tidak ada autoriti itu. Saya jelaskan tanggungjawab polis setakat menyelesaikan siasatan," katanya dipetik.
Beliau berkata begitu kepada pemberita selepas meninjau premis memproses sisa elektronik haram di Teluk Panglima Garang pada Khamis.
Terdahulu, ada sesetengah pihak berkepentingan dikesan cuba melaksana usaha jahat dengan memfitnah kerajaan di media sosial dengan mendakwa kononnya kerajaan berdiam diri dan tidak bertindak apabila agama Islam dihina.
Susulan itu Perdana Menteri telah memberi peringatan kepada semua pihak untuk tidak menggunakan kesempatan membakar serta mengapi-apikan sentimen perkauman dan menanam bibit kebencian.
Sementara itu Saifuddin mengingatkan pihak berkenaan, bahawa sebarang perbandingan dan tuduhan berkaitan isu 3R yang cuba dimainkan mereka tidak mendatangkan manfaat kepada negara.
Comentarios