Oleh: Akmal Manaf
Ahli Parlimen Batu Pahat, Onn Abu Bakar menepis dakwaan warga maya dan laskar siber pembangkang kononnya Kerajaan Perpaduan boleh tumbang sekiranya kalah dalam pengundian usul Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berkaitan kes Pulau Batu Puteh, kerana itu sesi tersebut ditangguhkan.
Beliau menyifatkan, 'cakap-cakap' tentang kerajaan bakal tumbang sekiranya pengundian dilaksanakan berhubung usul tersebut merupakan 'fakta kartun' dan tidak masuk akal sama sekali.
"Tak betul lah.. tak masuk akal. Mana boleh (kerajaan tumbang), dalam undi (sebelum itu) pun kita menang.
"Itu fakta kartun.. salah itu (kerajaan bakal tumbang). Sebenarnya antara lain sesi semalam itu dah nak dekat waktu Maghrib, perbahasan pun tak ramai.. dihadkan kepada 10 orang sahaja. Sebenarnya ramai yang nak bahas," katanya ketika dihubungi Suara Keadilan hari ini.
Beliau diminta mengulas mengenai dakwaan di platform X yang beranggapan tindakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said menangguhkan mesyuarat ke satu tarikh yang ditetapkan disebabkan kerajaan bakal kalah jika diteruskan dengan undian.
Selain itu, warga maya turut mengatakan andainya kerajaan kalah dalam pengundian usul RCI Pulau Batu Puteh maka pentadbiran Datuk Seri Anwar Ibrahim hilang majoriti dan beliau perlu meletakkan jawatan.
Mengulas lanjut, Onn yang juga Setiausaha Politik Presiden KEADILAN berkata, isu RCI tidak memberi sebarang kesan kepada kerajaan kerana bukannya Belanjawan 2025 yang perlu lulus sebagai 'undi percaya' kepada kerajaan.
"RCI tak bawa masuk ke Parlimen pun boleh. Cuma Kerajaan MADANI nak maklumkan kepada rakyat mengenai perkara itu atau dipanggil 'buka untuk bacaan umum'.
"Kami yang 98 peratus menyokong pihak kerajaan.. kalau buat undi kita (kerajaan) boleh menang. Tiada masalah sebab majoritinya menyokong RCI.
"Cumanya masa sudah suntuk sangat, jadi tahun depan boleh buat lagi. Hujah-hujah pembangkang semalam pun tidak masuk akal.. mereka merapu sahaja," bidas beliau.
Semalam, usul mengenai RCI bagi mengkaji pengendalian perkara berkaitan kes Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan selesai dibahaskan tanpa keputusan.
Azalina semasa ucapan penggulungannya menyatakan, beliau mengambil kira semua perbahasan mengenainya.
"Mengambil kira semua yang saya dengar, sebagai Menteri yang bertanggungjawab, mengikut Peraturan Mesyuarat 12 (1) tanpa menghiraukan usul yang terdahulu saya mohon mencadangkan mesyuarat hari ini ditangguhkan.
"Selepas itu majlis mesyuarat ditangguhkan sehingga ke satu tarikh yang ditetapkan," katanya dipetik.
Sesi Dewan Rakyat Oktober - Disember berakhir semalam dan akan bersambung semula pada Februari 2025. Manakala berkenaan isu RCI tiada tarikh ditetapkan.
Untuk rekod, sebelum ini pada April 2019 Kerajaan Pakatan Harapan pernah kalah usul meminda Perlembagaan Persekutuan bagi mengukuhkan Perjanjian Malaysia 1963 kerana blok Barisan Nasional ketika itu berkecuali. Namun kerajaan PH tidak pula tumbang kerana usul tersebut bukanlah hal utama pentadbiran.
Comments