Oleh: Helmi Mohd Foad
Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa kerajaaan tidak akan bertolak ansur dengan sebarang propaganda untuk memperkotak-katikkan kedudukan agama dan kaum di negara ini.
Serentak itu, Presiden KEADILAN itu mahu seluruh anggota parti turun ke peringkat akar umbi untuk memberikan penjelasan tentang percubaan segelintir pihak untuk terus memainkan sentimen kononnya Islam terancam di negara ini.
"Kini bahaya terutama ada unsur awal takfiri - kafirkan sesama Islam - dan beberapa elemen khawarij.
"Saya ingin beritahu, kalau kita izinkan ia terus berlaku dan dibiarkan, bukan sahaja perpecahan antara umat Islam, ada juga rakan-rakan kita Kristian, Hindu dan Buddha (akan terlibat)
"Kalau ambil tindakan tolak ansur dengan gejala ini, negara akan rapuh dan tidak akan dapat bertahan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Kongres Nasional KEADILAN 2023 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), Putrajaya malam ini.
Hadir sama Penasihat KEADILAN Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Timbalan Presiden KEADILAN Rafizi Ramli, Setiausaha Agung Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail serta Naib-Naib Presiden, Datuk Seri Amirudin Shari, Nik Nazmi Nik Ahmad, Chang Lih Kang, Nurul Izzah Anwar, Saraswathi Kandasami dan Awang Husaini Sahari.
Turut hadir Ketua Wanita Fadhlina Sidek dan Ketua Angkatan Muda Keadilan Adam Adli Abd Halim.
Kongres turut dihadiri ketua-ketua parti komponen Pakatan Harapan seperti Presiden Amanah, Datuk Seri Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP Anthony Loke.
Hadir sama Setiausaha Agung BN Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dan wakil-wakil GRS dan GPS.
Ia dihadiri lebih hampir 4,000 perwakilan dan pemerhati dari seluruh negara.
Comments