![](https://static.wixstatic.com/media/4449e2_494bb71f236947d7986593c29e1c5d44~mv2.jpg/v1/fill/w_700,h_458,al_c,q_80,enc_auto/4449e2_494bb71f236947d7986593c29e1c5d44~mv2.jpg)
Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta Tenaga Nasional Bhd (TNB) memberikan penjelasan berhubung kenaikan tarif elektrik kerana kerajaan berpendirian untuk tidak membenarkan sebarang peningkatan tarif yang boleh menjejaskan orang ramai.
Perdana Menteri berkata pihaknya telah menghubungi Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof, yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air bagi membincangkan perkara tersebut.
"Kita tidak benarkan kenaikan elektrik yang menjejaskan orang ramai. Kenaikan seperti mana yang dulu itu hanya melibatkan golongan atasan yang saya sebut maha kaya, atau pun industri yang mencatat keuntungan. Rakyat terbanyak tidak terkesan dari kenaikan elektrik, walaupun saya faham kos meningkat.
"Walaupun kos meningkat, tidak boleh menjejaskan kedudukan majoriti rakyat. Ini dari segi dasar (kerajaan). Saya faham keperluan naik, tapi kenaikan tidak boleh melibatkan kedudukan kos kepada majoriti rakyat," katanya kepada pemberita ketika ditemui di Masjid Al-Hana, Kuah, Langkawi, Perlis hari ini.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata Fadillah dan TNB akan memberikan penjelasan secara terperinci berhubung perkara itu.
TNB dalam makluman kepada Bursa Malaysia semalam memaklumkan jadual tarif baharu dengan tarif asas 45.62 sen sekilowatt-jam (KwJ) bagi Semenanjung Malaysia di bawah RP4, dicadang dilaksanakan mulai 1 Julai depan, masih di peringkat cadangan.
Di bawah Tempoh Kawal Selia 3 (RP3) antara 2022 dan 2024, tarif asas ditetapkan pada 39.95 sen/kWj.
Dalam pada itu, TNB dalam kenyataan berkata sebanyak 85% pemegang akaun domestik iaitu sekitar 7.5 juta orang tidak akan terjejas dengan sebarang perubahan kadar tarif elektrik dan masih dilindungi kerajaan sehingga Jun 2025.
Ketua Pegawai Kewangannya, Datuk Nazmi Othman menjelaskan kadar tarif semasa yang diguna pakai sejak 2014 tidak memberi kesan signifikan kepada golongan tersebut.
Bagaimanapun, katanya kerajaan sedang memuktamadkan cadangan jadual tarif baharu dan kos pembekalan elektrik sebenar yang lebih kompetitif menjelang Julai 2025.
"Sebarang perubahan selepas Jun 2025 bergantung kepada keputusan kerajaan yang mempunyai masa untuk tetapkan tarif menjelang Julai tahun depan.
"Setiap enam bulan memang dikaji mekanisme Pelepasan Kos Tidak Berimbang (ICPT). Dari situ kita lihat ada rebat atau surcaj," katanya dalam satu taklimat media.
Menurut Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (Petra) sebelum ini, lebih RM2.3 billion subsidi elektrik bagi tempoh Januari hingga Jun 2025 akan dibiayai kerajaan.
Comments