Kerajaan bertegas tidak akan menangguhkan penguatkuasaan kerangka kawal selia perlesenan perkhidmatan media sosial termasuk pesanan Internet pada awal tahun depan meskipun terdapat bantahan daripada kumpulan syarikat penyedia perkhidmatan teknologi.
Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata, Langkah itu tetap akan diteruskan demi memastikan langkah proaktif kerajaan bagi melindungi kepentingan dan keselamatan pengguna tercapai.
"Kita tidak akan tangguh," katanya dipetik ketika ditanya sama ada kerajaan akan menangguhkan pelaksanaan kerangka kawal selia itu susulan surat terbuka yang dihantar oleh Gabungan Internet Asia (AIC) kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 26 Ogos lalu.
Ditanya kemungkinan pelaksanaan kerangka kawal selia itu akan menyebabkan syarikat asing menarik diri daripada beroperasi di negara ini, Fahmi berkata hal itu telah dipertimbangkan dan syarikat asing perlu akur kepada undang undang di negara mereka beroperasi.
"Syarikat teknologi besar adalah besar, tetapi undang-undang kita lebih besar. Jika mereka mahu beroperasi di Malaysia, mereka mesti menghormati dan mematuhi undang-undang kita," katanya.
AIC dalam surat terbukanya kepada Anwar menggesa agar kerajaan menghentikan seketika atau menilai semula rancangan untuk mewajibkan permohonan lesen oleh semua perkhidmatan media sosial dan pesanan Internet yang mempunyai sekurang-kurang lapan juta pengguna berdaftar di negara ini.
AIC yang dianggotai Google, Meta, X, Apple Inc, Amazon dan Grab mendakwa langkah pelesenan itu tidak boleh dilaksanakan bagi industri berkenaan serta boleh mengekang inovasi dengan meletak beban tidak wajar terhadap perniagaan.
Bagaimanapun Grab Malaysia semalam dilaporkan menafikan terlibat dalam menyuarakan gesaan tersebut dengan menyatakan syarikat itu tidak dirundingkan sebelum surat terbuka itu dikeluarkan.
Fahmi menyifatkan surat berkenaan sebagai pelik kerana isi kandungan surat serta jumlah logo syarikat yang menganggotai AIC sentiasa berubah.
"Saya sudah semak. Mereka (AIC) hantar satu surat pada 23 Ogos lepas, diikuti satu surat pindaan pada 26 Ogos dan satu lagi pagi tadi.
"Satu surat yang sama - pertama ada banyak logo, kemudian tinggal enam logo dan terakhir tiada logo, surat pertama kata ‘unworkable’ dan sekarang ini pandangan mereka sudah berubah," katanya.
Susulan itu, Fahmi mempelawa AIC untuk mengadakan rundingan dengan kerajaan bagi mendapatkan maklumat lebih lanjut berkaitan pelaksanaan tersebut, kerana kerajaan sentiasa mengambil sikap terbuka.
"Saya bersedia untuk berjumpa dengan AIC. Apa yang saya dimaklumkan, MCMC (Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia) sudah bertemu dengan AIC pada Mei lepas, namun AIC minta masa sebulan untuk mereka sampaikan pandangan kepada MCMC, tetapi mereka minta pula dilanjutkan, bukan sekali tapi beberapa kali," katanya.
Comments