Menyahut seruan kerajaan agar syarikat swasta turut membantu mangsa banjir, sejumlah 23 firma dan badan korporat hari ini tampil menyalurkan sumbangan sejumlah RM35.8 juta untuk diagihkan kepada negeri-negeri yang terlibat dengan bencana itu.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika berucap pada majlis penyerahan sumbangan itu berkata, semua dana tersebut akan diuruskan oleh Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri.
"Saya minta ICU senaraikan (keperluan infrastruktur) selain daripada apa yang diperuntukkan kerajaan," katanya pada Majlis Pengumpulan Dana Ihsan MADANI di Kompleks Seri Perdana, Putrajaya hari ini.
Awal minggu ini Perdana Menteri menyarankan agar syarikat swasta berganding bahu membantu mangsa banjir sama ada dari segi dana atau menghantar jentera bantuan ke kawasan terjejas.
Sebelum ini syarikat berkaitan kerajaan seperti Petronas, Khazanah dan Permodalan Nasional Berhad telah menyalurkan dana bagi membantu meringankan beban mangsa banjir terutamanya di pantai timur.
Perdana Menteri berkata sumbangan itu turut akan digunakan bagi memperbaiki bangunan sekolah susulan ia banyak digunakan sebagai Pusat Pemindahan Sementara (PPS) selain membaik pulih lantai serta tandas sekolah selain bantuan makanan dan uniform.
Anwar yang juga Menteri Kewangan mahu penyelarasan yang lebih baik antara kerajaan dan organisasi lain bagi memastikan bantuan benar-benar sampai kepada mangsa yang memerlukan.
"…saya rasa lebih baik kita salurkan, tak semestinya jabatan kerajaan, kalau ada badan bukan kerajaan yang betul-betul realistik. Jentera-jentera kita di bawah (yang berada di lapangan), dia tahu. Kalau kita pergi sendiri, yang dah dapat bantuan (sebelum ini) kita bantu lagi. Sebab itu kita kena selaras dengan lebih efisien," katanya.
Pada majlis tersebut Perdana Menteri menerima sumbangan daripada YTL Corporation Bhd dan Yayasan Albukhary, masing-masing menyumbang RM5 juta, manakala Sapura Secured Technologies, U Mobile Sdn Bhd, Mah Sing Group Bhd, WCT Bhd, IJM Corporation Bhd, Kuala Lumpur Kepong Bhd, Berjaya Corporation Bhd dan Press Metal Bhd, masing-masing menyumbang RM2 juta.
Westports Malaysia Sdn Bhd, Roadcare (M) Sdn Bhd, Sunway Bhd, Malaysia Resources Corporation Bhd, The Weststar Group pula masing-masing menyumbang RM1 juta, manakala Fortress Mining Sdn Bhd, Selia Selenggara Selatan Sdn Bhd, Johawaki Holdings Sdn Bhd dan Datuk Lawrence Lim Swee Lin (sumbangan peribadi) menyumbang RM500,000.
Sumbangan turut diterima daripada Newsfields Land Sdn Bhd (RM250,000), AHAM Asset Management Bhd (RM250,000), Persatuan Pengimport dan Peniaga Kenderaan Melayu Malaysia (PEKEMA) (RM200,000) dan YHA Travel & Tours (M) Sdn Bhd RM100,000.
Commenti