Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kerajaan sedang meneliti untuk melaksanakan pendekatan bersasar membabitkan inisiatif tol percuma pada setiap musim perayaan berbanding sekarang diberikan secara pukal.
Perdana Menteri berkata pendekatan tersebut selaras dengan keputusan kerajaan sebelum ini melaksanakan skim subsidi bersasar dengan memberikan tumpuan kepada golongan B40 dan M40.
"Ada pihak yang mempersoalkan mengapa tol percuma itu diberikan kepada semua, termasuk kereta mewah seperti Rolls Royce, Mercedes dan Maserati.
"Oleh itu, kita perlu teliti supaya rakyat yang terkesan di peringkat bawah itu diberikan pertimbangan lain... perkara ini sedang diperincikan," katanya yang juga Menteri Kewangan dipetik Bernama pada sidang media penutup sempena lawatan kerjanya ke Sidang Kemuncak Tahunan Forum Ekonomi Dunia (WEF) 2025 di Davos, Switzerland.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata kenyataan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi mengenai pemberhentian tol percuma sebelum ini hanya menyatakan prinsip asas bahawa subsidi tidak boleh diteruskan untuk semua seperti subsidi elektrik dan minyak.
Pada Selasa lalu, laporan media menyebut Nanta Linggi sebagai berkata Kabinet memutuskan bahawa 2024 merupakan tahun terakhir bagi pemberian tol percuma pada musim perayaan.
"Mesyuarat Kabinet tahun lepas telah memutuskan untuk mencari pendekatan lebih bersasar, yang dijangka diumumkan dalam masa terdekat," ujarnya.
Laporan menyebut kerajaan membelanjakan sejumlah besar dana untuk memberikan tol percuma sempena musim perayaan pada tahun lalu dengan Aidilfitri sejumlah RM80.07 juta, Deepavali (RM42.31 juta), Tahun Baru Cina (RM41.21 juta) dan Krismas (RM38 juta)
Secara purata, kerajaan membayar kira-kira RM20 juta sehari kepada syarikat konsesi lebuh raya untuk pelaksanaan tol percuma.
Comments