top of page

Kerajaan tegas larang kontena syarikat Israel masuk Malaysia



Kerajaan Malaysia tetap bertegas menyekat sebarang kontena syarikat perkapalan berpangkalan di Israel, ZIM memasuki pelabuhan negara ini, kata Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil.


Beliau berkata kerajaan sentiasa membuat pemantauan rapi dan tidak akan mengubah pendirian berhubung keputusan yang telah dibuat walaupun kontena syarikat perkapalan itu disewa oleh syarikat lain.


"Dalam mesyuarat Jemaah Menteri hari ini, kita ada mendapat sedikit maklum balas dan penegasan daripada Menteri Pengangkutan (Anthony Loke) bahawa sebarang kontena (syarikat perkapalan yang berpangkalan di Israel) tidak dibenarkan masuk ke pelabuhan di Malaysia.


"Apa yang berlaku di sempadan Perlis itu adalah selaras dasar kerajaan," katanya pada sidang media pascamesyuarat Kabinet di Putrajaya hari ini.


Pada Ahad lalu, Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) menyekat sebuah treler membawa kontena berlogo syarikat berpangkalan di Israel daripada memasuki Malaysia melalui Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Padang Besar, Perlis yang bersempadan dengan Thailand.


Treler itu telah diarahkan berpatah balik ke negara jiran setelah pihak kastam mendapati kontena berisi ayam sejuk beku yang dibawanya mempunyai logo 'ZIM' iaitu syarikat berasal dari Israel selepas melalui terowong mesin pengimbas.


Pada Disember tahun lalu, Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengumumkan keputusan Malaysia mengenakan sekatan serta-merta dan tidak lagi menerima kapal yang menggunakan bendera Israel masuk ke negara ini dan melarang mana-mana kapal yang dalam perjalanan menuju ke Israel daripada memuatkan kargo di pelabuhan negara ini.


Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, kerajaan turut tidak membenarkan syarikat perkapalan berpangkalan di Israel, ZIM daripada berlabuh di mana-mana pelabuhan dalam negara.


Sekatan ini adalah tindak balas terhadap tindakan Israel mengenepikan prinsip asas kemanusiaan dan melanggar undang-undang antarabangsa menerusi pembantaian dan kekejaman berterusan terhadap warga Palestin.


Pada Disember lalu, Menteri Pengangkutan Anthony Loke mengarahkan syarikat ZIM segera mengeluarkan 4,000 kontenanya yang terkandas di Pelabuhan Klang, Selangor susulan keputusan kerajaan melarang syarikat perkapalan dari Israel itu berlabuh di mana-mana pelabuhan Malaysia.


Dalam perkembangan lain, Fahmi yang juga jurucakap kerajaan berkata Jemaah Menteri dimaklumkan oleh Menteri Sumber Manusia Steven Sim Chee Keong mengenai beberapa perkembangan terkini dan maklum balas yang diterima Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) berhubung cadangan penubuhan Suruhanjaya Gig Malaysia.


Beliau berkata susulan itu, Perdana Menteri meminta KESUMA menyediakan memorandum berkaitan cadangan penubuhan suruhanjaya itu agar keputusan dasar dapat dilaksana.


Semalam, media melaporkan KESUMA akan membentangkan nota pertama mengenai cadangan penubuhan Suruhanjaya Gig Malaysia pada mesyuarat Jemaah Menteri hari ini yang membabitkan laporan interim cadangan berkenaan bagi memperoleh kelulusan daripada Jemaah Menteri.


Pada Majlis Sambutan Hari Pekerja 2024, Anwar mahu penubuhan Suruhanjaya Pekerja Gig disegerakan kerana ia penting bagi memberi perhatian dan keprihatinan yang lebih kepada pekerja sektor itu.

0 comments

תגובות


PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
8,075
76
15,456
Total
2,285,640
26,759
2,116,021

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
393,631
6,015
582,401
Total
236,060,214
4,821,346
211,396,635

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

bottom of page