Oleh: Abdullah Zaid
Kerajaan akan terus menambah baik Pengkalan Data Utama (PADU) bagi memastikan golongan yang layak terus menerima manfaat berbentuk bantuan dan subsidi.
Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, PADU yang berperanan sebagai pangkalan data utama bagi kementerian dan agensi kini mengambil pendekatan baharu yang sebelum ini tidak digunakan.
"PADU bersedia pelbagai pendekatan baharu yang sebelum ini tidak digunakan kini digunakan dalam PADU.
"Contohnya penentuan kelayakan penerimaan bantuan tidak semata pada garis pendapatan nasional tetapi mengambil kira kedudukan kos sara hidup megikut daerah, tanggungan keluarga, dan pembelanjaan menjalani kehidupan yang wajar," katanya di Dewan Negara, hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Datuk Dr Azhar mengenai rancangan kerajaan bagi membantu mereka yang berdaftar PADU menerima bantuan sewajarnya.
Mengulas lanjut, Rafizi berkata, kerajaan ketika ini boleh mengenalpasti terus penerima-penerima layak menerima insentif dan ini membolehkan pendekatan kerajaan berubah secara berfasa.
"Apabila kerajaan membuat keputusan mengenai perkara lain seperti RON95, tidak seperti keadaan sebelum ini, kita telah pun ada data yang bersepadu yang telah diharmonikan dan disahkan untuk membolehkan kerajaan dengan segera melaksanakan apa-apa bentuk penyasaran subsidi dan bantuan kepada keluarga yang memerlukan.
"Untuk tempoh masa akan datang oleh kerana PADU adalah satu pangkalan data bersepadu kerajaan, itu membolehkan semakan bantuan-bantuan lain dan juga program-program khusus untuk membantu rakyat itu boleh disemak terus dengan PADU," ujarnya lagi.
Comentarios