
Oleh: Akmal Manaf
Kerajaan MADANI menerusi Kementerian Komunikasi dengan kerjasama strategik syarikat penyedia perkhidmatan telekomunikasi akan melaksanakan pemberian insentif Rebat Rahmah berbentuk tambahan kuota data minimum 5GB kepada semua pengguna perkhidmatan telekomunikasi warganegara Malaysia.

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, insentif yang akan dilaksanakan pada hari raya pertama itu terpakai untuk pakej prabayar dan pascabayar.
Ujar beliau, tambahan kuota data itu sah bagi tempoh minimum 24 jam dan tertakluk kepada terma dan syarat penawaran syarikat penyedia perkhidmatan telekomunikasi yang terlibat.
''Pemberian insentif Rebat Rahmah sempena perayaan Aidilfitri ini diharap akan dapat membantu mengeratkan silaturahim terutama menerusi komunikasi dalam talian di samping memeriahkan sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun ini.
''Maklumat lanjut mengenai insentif ini akan diumumkan oleh syarikat-syarikat penyedia perkhidmatan telekomunikasi dan soalan lazim boleh dirujuk di laman sesawang Kementerian Komunikasi,'' katanya.
Beliau yang juga Jurucakap Kerajaan Perpaduan mengumumkan perkara tersebut menerusi sidang media mingguan pasca mesyuarat Kabinet, di Putrajaya, hari ini.
Untuk rekod, syarikat penyedia telekomunikasi yang terlibat termasuk Celcom Digi, Maxis, U Mobile, TM Tech, YTL Communications, Pavo Comms, Tune Talk, redONE dan REDtone, dan XOX Com.
Comments