Kerajaan tidak berganjak dengan pendirian menjamin kebebasan media di negara ini namun kebebasan itu mesti dipastikan tidak disalahguna untuk memecah perpaduan dan keharmonian.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan sentiasa mendukung dan mempertahankan hak serta kebebasan dalam memberi teguran dan kritikan, malah semangat itu kekal sejak era kemerdekaan negara.
"Pendirian saya dan rakan-rakan dalam jemaah menteri, tiada tindakan diambil atau kawalan terhadap ruang kebebasan wartawan dan media memberi pandangan, teguran dan kritikan.
"Saya beri jaminan semangat (kebebasan media) itu kekal, walaupun timbulkan sedikit keresahan kerana ketegasan kita (kerajaan) tangani isu terkait dengan keselamatan, fahaman cauvinisme (patriotisme melampau) dan perkauman, atau aliran pelampau agama," katanya dipetik.
Beliau berkata begitu pada ucap tama di majlis Hadiah Kewartawanan Malaysia (HKM) MPI-Petronas 2023 pada Malam Wartawan Malaysia 2024 Majestic Hotel Kuala Lumpur malam tadi.
Hadiah Kewartawanan Malaysia MPI-Petronas merupakan acara tahunan bagi mengiktiraf karya-karya kewartawanan cemerlang sepanjang tahun.
Sementara itu Anwar berkata, Malaysia mampu menjadi negara yang hebat sekiranya wartawan tempatan dapat menumpukan pelaporan dengan matlamat untuk menjamin keamanan dan mengangkat kemajuan negara.
"Saya percaya dan yakin Malaysia ini mampu jadi negara hebat dan gagah kalau tumpu kepada matlamat kita terhadap keamanan, ekonomi, budaya, agama, digital tapi jangan diheret dengan isu memecah belah, papar kebodohan, keangkuhan sehingga menghakis kemanusiaan.
"Nilai seorang wartawan yang berjaya ialah dia kerja dengan perasaan, keyakinan, ada passion (semangat) dalam profesion," tambah Anwar.
Comments