Oleh: Dr Mohd Fauzi Hj Fadzil
ULASAN: Seluruh lapisan masyarakat menyatakan kesedihan atas nasib yang menimpa penduduk Kampung Sri Makmur kerana kawasan setinggan tersebut telah dirobohkan oleh pihak pemaju. Namun perobohan tersebut dilakukan setelah proses perbincangan panjang dilakukan dengan beberapa tawaran diberikan sebagai alternatif untuk pertimbangan pemindahan penduduk kampung tersebut.
Perkara pokok yang perlu difahami adalah Kerajaan Negeri Selangor telah memberi ruang yang secukupnya untuk aktiviti pengosongan di kawasan tersebut sejak tahun 2006.
Kampung Sri Makmur telah diiktiraf sebagai sebuah kawasan setinggan apabila Kerajaan Negeri Selangor melaksanakan program Setinggan Sifar pada tahun 2006 dan setelah itu status kawasan berkenaan berubah kepada tanah persendirian setelah Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) memaklumkan penjualan tanah tapak setinggan tersebut kepada Rexpoint Resources Sdn Bhd pada 8 September 2020.
Pemindahan penduduk
Pemindahan penduduk di kawasan setinggan itu gagal dilaksanakan secara sepenuhnya semenjak tahun 2006 namun pada 14 Mei 2024 pemilik baharu tanah tersebut memperoleh perintah mahkamah untuk melaksanakan tindakan meroboh semua struktur di tanah itu.
Terdapat pihak yang cuba menjustifikasikan Kampung Sri Makmur tidak sepatutnya disentuh kerana ia tergolong dalam kategori Kampung Peneroka Bandar. Namun istilah rekaan tersebut tidak dapat dipertahankan oleh mana-mana garis panduan atau undang-undang kerana Kerajaan Negeri Selangor hanya mengiktiraf istilah Kampung Tradisi dan Kampung Sri Makmur tidak tergolong dalam kategori tersebut.
Terdapat juga rungutan bahawa Kerajaan Negeri Selangor hanya mengikut data mereka sahaja dalam menentukan penerima yang layak untuk mendapat pampasan pembelian Rumah Selangorku Seri Temenggung bersama sagu hati ex-gratia, akibatnya terdapat segelintir penduduk Kampung Sri Makmur yang dikecualikan.
Perkara ini telah diterangkan oleh Setiausaha Politik Menteri Besar Selangor, Rahim Ahmad Kasdi bahawa data yang digunakan dalam menentukan penerima yang layak adalah berdasarkan bancian pada tahun 2006 oleh PKNS, dan tahun 2016 oleh Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Gombak.
Terdapat segelintir penduduk yang bertegas Kerajaan Negeri Selangor perlu menerima data yang mereka kemukakan walaupun tidak selari dengan data yang dikemukakan oleh PKNS dan PDT Gombak, sudah pasti perkara ini sukar dituruti oleh Kerajaan Negeri Selangor.
Tempoh mengosongkan kediaman
Rungutan selanjutnya adalah tempoh mengosongkan Kampung Sri Makmur yang terlalu singkat apabila tindakan meroboh semua struktur di tanah dilaksanakan pada 27 dan 28 Mei 2024. Perkara ini perlu dilihat melalui lensa yang lebih besar, arahan pengosongan kawasan tersebut telah dikeluarkan semenjak tahun 2006 lagi.
Malah tahun 2019 dan 2023, arahan pengosongan telah dikeluarkan secara berterusan namun terdapat segelintir penduduk yang masih berkeras.
Sebelum tindakan perobohan dilakukan pada Mei 2024, masih terdapat 21 keluarga yang berkeras enggan menerima tawaran dan arahan yang diberikan kepada mereka. Maka menggunakan keputusan mahkamah, Rexpoint Resources Sdn Bhd berhak menghalau penduduk tersebut berdasarkan Seksyen 425 (1)(a) Kanun Tanah Negara 1965.
Tindakan ini perlu dilakukan dalam kadar segera kerana menurut laporan Dewan Undangan Negeri Selangor menunjukkan pada tahun 2006 setelah dilakukan operasi perobohan kali pertama dilaksanakan di kawasan tersebut, terdapat penceroboh baru yang membina penempatan di kawasan tersebut kerana tidak segera dibangunkan mengikut perancangan.
Tapak tanah bukan di bawah PKNS
Rungutan terakhir yang berkenaan proses mengosongkan Kampung Sri Makmur adalah membabitkan PKNS yang tidak menghentikan perobohan tersebut sehingga isu penduduk selesai. Sekali lagi perlu diingatkan bahawa pemilik tanah Kampung Sri Makmur adalah Rexpoint Resources Sdn Bhd, syarikat tersebut telah mendapat perintah mahkamah pada 14 Mei 2024 untuk melaksanakan tindakan meroboh semua struktur di tanah tersebut.
Bagaimana mungkin perkara ini dipertanggungjawabkan ke atas PKNS, malah wujud tuntutan supaya PKNS mendahului keputusan mahkamah. Perkara ini sudah tentu tidak masuk akal.
Kerajaan Negeri Selangor telah cuba sedaya-upaya berunding dan memberikan tawaran alternatif kepada penduduk setinggan di Kampung Sri Makmur yang layak untuk mendapat pampasan yang setimpal.
Pintu rundingan masih dibuka, malah Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari masih terbuka terhadap tuntutan pampasan baharu oleh penduduk yang layak. Janganlah isu ini dipolitikkan sehingga menjejaskan usaha pembasmian kawasan setinggan di Negeri Selangor.
__________________________________________________________________________________
Penulis merupakan Pengarah Komunikasi Angkatan Muda Keadilan Selangor
Comments