Kerajaan Negeri Selangor peruntukan RM13.6 juta bagi menyumbangkan alatan peniaga kepada 3,256 usahawan kecil di negeri itu.
Exco Pembasmian Kemiskinan, V Papparaidu berkata peruntukan itu disalurkan Kerajaan Negeri menerusi program Bantuan Blueprint Pembasmian Kemiskinan sejak 2016 sehingga kini.
Ditemui pemberita pada Majlis Penyerahan Program Bantuan Blueprint Pembasmian Kemiskinan di Kuala Langar, beliau menjelaskan untuk tahun ini seramai 334 permohonan usahawan dari sembilan daerah telah diluluskan untuk program berkenaan.
"Untuk Kuala Langat sahaja, sebanyak 90 orang hari ini menerima bantuan peralatan dan mesin masing-masing dengan peruntukan RM687,200.
"Ia menjadi daerah yang menerima peruntukan tertinggi berbanding daerah lain,” kata V Papparaidu dipetik.
Belanjawan Selangor 2023 memperuntukkan RM2 juta bagi meneruskan program Bantuan Blueprint Pembasmian Kemiskinan untuk penjaja, peniaga atau yang bekerja sendiri untuk melebarkan perniagaan.
Sementara itu tambahnya, sebanyak 639 usahawan India turut menerima bantuan peralatan berniaga sejak 2021.
Bagi membantu masyarakat itu keluar dari masalah kemiskinan, Kerajaan Negeri turut membelanjakan RM3.34 juta menerusi program Bantuan Peralatan Usahawan India (I-SEED) dengan tahun ini sebanyak 175 permohonan diluluskan setakat ini.
"Kuala Langat sahaja 20 usahawan menerima bantuan peralatan hari ini yang memperuntukkan RM142,480 untuk memenuhi keperluan mereka," katanya yang berharap setiap usahawan memanfaatkan bantuan untuk mengembangkan lagi perniagaan mereka.
Комментарии