Oleh: Dr Mohd Fauzi Hj Fadzil
ULASAN: Ketua Penerangan Pas negeri Selangor, Zurk Ahmad melemparkan tuduhan bahawa episod banjir yang berulang setiap kali hujan lebat di Selangor menunjukkan pengurusan bencana banjir oleh Kerajaan Negeri masih bermasalah.
Beliau mengharapkan isu tersebut diperjuangkan oleh Ahli Dewan Negeri (ADN) Paya Jaras dan ADN Sementa agar dapat mencari solusi yang berkesan serta tidak terus menghantui rakyat Selangor. Gambaran yang diberikan oleh Ketua Penerangan Pas Selangor seolah-olah Kerajaan Negeri tidak melakukan apa-apa bagi memperbaiki masalah tersebut.
Kenyataan dangkal
Kritikan yang dikeluarkan oleh Ketua Penerangan Pas negeri ini adalah suatu kenyataan dangkal yang tidak merujuk perancangan dan tindakan yang telah dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri Selangor.
Fenomena taburan hujan lebat yang dikatakan menjadi penyebab kejadian banjir kilat melanda beberapa daerah di Selangor telah dijangka awal melalui laporan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia berkenaan fenomena garis badai (squall line). Justeru persiapan telah dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri Selangor sejak awal lagi melalui peruntukan Belanjawan Tahun 2023 dan 2024.
Jika dilihat semasa pembentangan Belanjawan Selangor Tahun 2023, belanjawan tersebut mengalami defisit sebanyak RM450 juta dengan tujuan membuat persediaan pengurusan bencana akibat perubahan iklim serta menyediakan peruntukan pembangunan yang substansif bagi pembangunan mapan.
Peruntukan bagi menghadapi bencana banjir juga turut disediakan melalui Belanjawan Selangor Tahun 2024 di mana RM400 ribu disediakan untuk Pengurusan Risiko Bencana Bersama Komuniti Setempat dan RM1.4 juta untuk Pusat Opersasi Bencana Daerah. Malah hasil sumbangan daripada Kerajaan Persekutuan dan Negeri maka pada tahun 2023, 25 daripada 85 projek tebatan banjir dengan peruntukan kira-kira RM 1.11 Bilion telah berjaya diselesaikan.
Tebatan banjir terus dibina
Kerajaan Negeri Selangor telah berusaha memperbaiki masalah banjir bermula tahun 2022, malah sehingga kini projek tebatan banjir masih terus diusahakan bagi mengurangkan masalah banjir.
Namun peristiwa banjir yang melandan sekitar Ogos 2024 adalah sesuatu yang di luar jangkaan kerana puncanya datang dari pelbagai sudut. Menurut ADUN Batu Tiga, Danial Al Rashid punca kejadian banjir kilat yang berlaku adalah akibat kolam takungan tidak berfungsi. Air tidak mengalir ke kolam tadahan yang telah dibina dengan kos sebanyak RM5.3 juta.
Kerajaan Negeri Selangor telah menyediakan infrastruktur bagi menangani masalah banjir, namun masalah teknikal yang muncul secara mengejut tidak mampu dielakkan. Keadaan lebih dikeruhkan lagi apabila pertembungan taburan hujan lebat dan air pasang dikatakan menjadi penyebab tambahan kepada kejadian banjir kilat yang melanda.
Kejadian banjir yang berlaku kini bukanlah suatu kejadian yang dibiarkan berterusan tanpa sebarang tindakan bantuan seperti yang digambarkan oleh Ketua Penerangan Pas Selangor. Kejadian banjir yang berlaku tidak dibiarkan begitu sahaja oleh Kerajaan Negeri Selangor, Pasukan Tindakan Segera (PANTAS) telah digerakkan ke lokasi sejurus dimaklumkan kejadian banjir melanda.
Skuad PANTAS menumpukan aspek pembersihan membabitkan sekolah dan tabika yang terkesan akibat banjir kilat sebelum menyalurkan bantuan, peruntukkan telah disediakan awal oleh Kerajaan Negeri Selangor kepada mangsa banjir dan akan diagihkan melalui Menteri Besar Selangor Incorporated (MBI Selangor).
______________________________________________________________________________
Penulis merupakan Pengarah Komunikasi Angkatan Muda Keadilan Selangor
Comentários