Kerajaan sediakan rawatan untuk kesan sampingan vaksin Covid-19
- Suara Keadilan
- May 11, 2024
- 1 min read

Kerajaan memberi jaminan akan menyediakan rawatan susulan bagi penerima vaksin Covid-19 termasuk AstraZeneca yang terbukti mengalami kesan sampingan ekoran vaksin yang diterima.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, kerajaan mempunyai data kesan sampingan susulan imunisasi (AEFI) yang berpunca daripada vaksin dan mempunyai kaedah bagi merawat kesan sampingan tersebut.
"AstraZeneca sudah menarik balik vaksin mereka, ini (isu) global. Apa yang kita mahu pastikan adalah kalau ada sesiapa yang terbukti (berdepan isu kesihatan) terkait dengan AstraZeneca kita ada cara untuk memastikan mereka diberikan perlindungan dan bantuan.
"Ada kaedah untuk kerajaan bertanggungjawab memberi rawatan kepada mereka. Itu jaminan kerajaan dan kita akan tahu kes-kes berkaitan kerana ada data pendaftaran," katanya dipetik.
Media sebelum ini melaporkan firma farmaseutikal global Britain-Sweden, AstraZeneca menarik balik vaksin Covid-19 di seluruh dunia.
Keputusan menarik balik itu dipercayai dibuat selepas syarikat itu mengakui dalam dokumen mahkamah bahawa vaksin berkenaan boleh menyebabkan kesan sampingan yang jarang berlaku dan berbahaya.
Sementara itu tegas Dr Dzulkefly, kerajaan turut bertanggungjawab terhadap penerima vaksin daripada firma farmaseutikal lain seperti Pfizer-BioNTech dan Sinovac, sekiranya terbukti menghadapi kesan sampingan.
Comments