Kerajaan sedia kaji terma pembayaran semula hutang PTPTN
- Suara Keadilan
- 4 days ago
- 1 min read

Kerajaan MADANI sedia mengkaji semula terma pembayaran balik hutang Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) bagi membantu peminjam di samping menangani isu hutang tertunggak yang tinggi.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ketika ini hutang tertunggak PTPTN hampir mencecah RM40 bilion dan perkara itu perlu diselesaikan supaya ramai lagi pelajar boleh menerima pembiayaan.
"Kita boleh menyelesaikan perkara ini jika kita lakukan beberapa perkara. Sebagai contoh mengenakan cukai ke atas kelompok yang maha kaya.
"Ibu bapa mereka yang maha kaya perlu bayar, jadi kemudiannya baru kita boleh pindahkan ia bagi membantu pelajar miskin," katanya dipetik pada program ‘Meet Anwar@UIAM: A Special Homecoming’ di Pusat Aktiviti Kebudayaan, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Kampus Gombak pada Jumaat.
Program itu menampilkan dialog terbuka antara Perdana Menteri dan komuniti kampus, terutama kumpulan pelajar universiti, yang menyaksikan penyertaan hampir 3,000 petugas serta pelajar universiti berkenaan.
Turut hadir Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shaari dan Rektor UIAM Prof Emeritus Datuk Dr Osman Bakar.
Bagaimanapun menurut Anwar, kerajaan menyedari bahawa langkah tersebut akan mempunyai sensitiviti politik dan akan terdapat kempen politik yang menuduh kerajaan membebankan rakyat.
"Ini negara demokrasi, kalau kita naikkan cukai, pembangkang akan serang saya habis-habisan.
"Sudah ada tuduhan bahawa perdana menteri mengenakan cukai kepada rakyat setiap hari," katanya.
Sementara itu Anwar menjelaskan, kerajaan bersedia meningkatkan jumlah pembiayaan pelajar universiti menerusi tabung itu.
"Kementerian Pendidikan Tinggi sudah pun meneliti perkara ini. Namun, hutang tertunggak PTPTN pada masa ini adalah tinggi dan jika jumlah pinjaman disemak semula, ia boleh meningkatkan lagi jumlah hutang tersebut.
"Buat masa ini, kita tangguhkan dahulu. Tetapi kita masih terus membantu pelajar berdasarkan keperluan mereka," tambahnya.
Comentarios