
Kerajaan MADANI memperuntukkan sejumlah RM869 juta untuk program Rancangan Makanan Tambahan (RMT) tahun ini.
Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh berkata, peruntukan program bertujuan memperbaiki keadaan kesihatan, fizikal dan amalan pemakanan kepada murid sekolah rendah terutamanya dari kawasan luar bandar dan golongan berpendapatan rendah itu meningkat kira-kira 10 peratus berbanding tahun lepas.
"Jumlah peruntukan RMT yang disediakan adalah bagi menampung keperluan makanan yang berkhasiat dan seimbang untuk anak-anak yang memerlukan," katanya dipetik.
Kah Woh memaklumkan perkara itu pada ucapan di Program Bantuan Kewangan Pendidikan Toyo Tyre kali ke-12 oleh Toyo Tyre Malaysia Sdn Bhd (TTM) di Taiping pada Sabtu.
Sementara itu tambahnya, sebagai kementerian yang menerima peruntukan paling besar, Kementerian Pendidikan (KPM) bukan sahaja menumpukan usaha memperkasa pendidikan.
Sebaliknya, kementerian itu turut menyediakan 18 bentuk bantuan kepada pelajar sekolah rendah dan menengah antaranya Bantuan Awal Persekolahan (BAP) yang secara tidak langsung mampu meringankan beban ibu bapa.
Selain RM869 juta untuk RMT, Kerajaan MADANI dilapor memperuntukkan RM791.25 juta khusus untuk bayaran BAP sebanyak RM150 kepada setiap murid secara sekali bayar yang akan memberi manfaat kepada lebih 5.2 juta orang murid.
Pada tahun ini, buat pertama kalinya inisiatif BAP turut diperluaskan kepada pelajar Tingkatan 6.
Comments