
Kerajaan Perpaduan terus berusaha memastikan kebajikan semua rakyat termasuk golongan nelayan diberi perhatian.
Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Muhammad Faiz Fadzil berkata, pihaknya bersedia membantu mana-mana nelayan yang kediaman mereka mengalami kerosakan akibat masalah hakisan pantai termasuk di Terengganu.
Ditemui pemberita selepas menghadiri satu acara di Kuala Nerus pada Ahad, Muhammad Faiz berkata, usaha itu dapat dilaksana susulan kerajaan menyediakan peruntukan RM10 juta untuk Projek Khas Perumahan Nelayan (PKPN).
"Kita akan melihat mana-mana rumah yang terlibat atau mengalami kerosakan (termasuk akibat hakisan pantai), kita akan berikan peruntukan kepada yang layak.
"Sama ada rumah nelayan itu rosak akibat hakisan pantai ataupun tidak, ia tidak menjadi persoalan tetapi kita akan meneliti dan menilai terlebih dahulu nilai kerosakan serta kelayakan mereka," katanya dipetik selepas menyempurnakan Program Madani Anak Nelayan Kembali ke Sekolah LKIM-Petronas.
Pada program itu, seramai 100 pelajar sekolah rendah dan menengah di sekitar Kuala Nerus terdiri anak-anak nelayan menerima sumbangan barangan keperluan persekolahan dan wang tunai sebagai persiapan menghadapi sesi baharu persekolahan pada Februari depan.
Sementara itu Muhammad Faiz sebagai mengulas isu hakisan pantai berkata, pihaknya akan bekerjasama dengan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) untuk melihat keperluan melaksanakan beberapa projek mitigasi dalam membendung masalah hakisan pantai yang kian meruncing.
Bagaimanapun beliau berharap pihak kerajaan negeri dapat memberi perhatian lebih serius terhadap isu tersebut bagi memastikan keselamatan serta kesejahteraan penduduk terutama komuniti nelayan di pesisir pantai terjamin.
Comentarii