
Kerajaan Persekutuan fokus untuk menangani isu kadar Air Tidak Berhasil (NRW) yang menyebabkan kerugian kepada negara.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Fadillah Yusof berkata, isu air bersih yang hilang ekoran masalah kebocoran paip itu merupakan cabaran kepada negara dan pihaknya mencari cara menyelesaikan masalah itu secara holistik.
Sehubungan itu jelasnya, Kerajaan Persekutuan memperuntukkan RM2 bilion lagi pada tahun ini dalam bentuk geran kepada negeri untuk membantu mengatasi itu tersebut.
"Tahun ini kita ubah pendekatan dengan memberi geran kepada negeri yang masih menghadapi masalah NRW dalam 40 peratus.
"Peruntukan yang disediakan akan disalurkan secara berperingkat dan mengikut keperluan.
"Kalau dapat kita hendak mencapai kepada 30 peratus (penurunan NRW) tahun ini dan juga tahun depan di peringkat nasional," kata Fadillah dipetik.
Beliau yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) ditemui pemberita di Majlis Agihan Bubur Lambuk di Surau Darul Al Amin, Kampung Samariang Jaya Fasa 2, di Kuching pada Ahad.
Mengulas lanjut beliau berkata, usaha itu yang dimulakan pada tahun lalu telah berjaya mencapai matlamat untuk menurunkan kadar NRW peringkat nasional kurang daripada 35 peratus.
Comments