![](https://static.wixstatic.com/media/4449e2_ba285dcbe01c424893ff7f918c34270a~mv2.jpg/v1/fill/w_700,h_465,al_c,q_80,enc_avif,quality_auto/4449e2_ba285dcbe01c424893ff7f918c34270a~mv2.jpg)
Oleh: Akmal Manaf
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), Datuk Seri Mohamad Sabu memaklumkan bahawa kerajaan memperuntukkan sebanyak RM150 juta bagi memastikan bekalan beras putih tempatan (BPT) mencukupi di pasaran.
Beliau berkata, jumlah peruntukan itu digunakan dengan menyasarkan pengeluaran 24 juta kampit mengandungi 10kg BPT.
''Berhubung perkara ini, KPKM sedang memperincikan kaedah pelaksanaan dan ia akan diumumkan setelah perincian dimuktamadkan dalam masa terdekat.
''Reformasi mengambil masa setahun. Jadi enam bulan lagi, akan ada pengumuman lain,'' katanya di Dewan Rakyat hari ini ketika sesi penerangan khas berhubung isu padi dan beras.
Selain itu, Mohamad turut memaklumkan bahawa kerajaan akan mengekalkan harga beras putih tempatan pada kadar RM2.60 sekilogram.
Mengenai harga padi pula, beliau berkata, harga lantai belian padi dinaikkan daripada RM1,300 kepada RM1,500.
Meskipun harga itu lebih rendah daripada tuntutan pesawah, iaitu RM1,800 namun beliau berkata kadar tersebut mengambil kira kesan terhadap kenaikan harga beras di pasaran.
"Kalau kita naikkan harga padi sebegitu rupa, bagaimana kedudukan harga beras? Dengan harga sekarang pun nak keluarkan RM2.60 per kilo, sudah kerajaan terpaksa campur tangan, memberi subsidi.
"Lihat berapa kilang Bumiputera yang tutup, kerana tidak dapat menyediakan beras dengan harga RM2.60 seperti yang ditetapkan dengan harga padi yang ada RM1,300. Itu yang kita kena lihat kepentingan semua pihak. Baca balik bagaimana ulasan yang dibuat oleh pengusaha kilang di Arau, Perlis, kenapa dia tutup salah satunya, kerana dia tidak tahan dengan harga padi," katanya.
Selain itu, KPKM juga, kata Mohamad sedang berunding dengan Kementerian Kewangan dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup untuk memberikan subsidi diesel bersasar kepada pesawah padi.
''Kami (KPKM) pada masa ini juga sedang memuktamadkan perundingan dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup serta Kementerian Kewangan (MOF).
''Ia adalah untuk membolehkan penyelia perkhidmatan dalam industri padi dan beras juga layak menerima bantuan subsidi diesel di bawah program Budi Madani,'' ujarnya lagi.
Komen