
Oleh: Akmal Manaf
Kerajaan tidak menolak kemungkinan untuk menambah bakat baharu khususnya dalam bidang keselamatan siber negara.
Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil berkata, pembangunan bakat baharu itu bagaimanapun perlu dirujuk kepada Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) terlebih dahulu.
Ujarnya, ia bertujuan untuk mengetahui tahap kesiapsiagaan 'talent pipeline' dalam bidang berkenaan.
''Perkara ini (talent pipeline keselamatan siber) sebelum ini memang ada diteliti pelbagai pihak termasuk CyberSecurity Malaysia dan Institut Pengajian Tinggi (IPT).
''Memang tidak boleh dinafikan terdapat keperluan untuk menambah bakat dalam bidang keselamatan siber,'' katanya dalam sidang media mingguan di Putrajaya, hari ini.
Beliau berkata demikian apabila ditanya pemberita tentang usaha kerajaan memperkukuhkan keselamatan siber dalam negara.
Menurut Fahmi yang juga Menteri Komunikasi, terdapat beberapa perkara sedang dilaksanakan oleh pihak Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) susulan Akta Keselamatan Siber yang telah diluluskan dan kini berkuatkuasa.
''Ini memberi satu keyakinan kepada ekosistem termasuk dalam kalangan syarikat-syarikat keselamatan siber bahawa ruang lingkup kawal selia semakin jelas, sekali gus membolehkan mereka beroperasi dengan lebih cergas,'' ujarnya lagi.
Semalam, Perdana Menteri (PM), Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan kerajaan mempunyai keyakinan tinggi terhadap kepakaran dalaman negara bagi mendepani cabaran berkaitan keselamatan siber.
Setiausaha Akhbar Kanan kepada PM, Tunku Nashrul Abaidah, berkata perkara berkenaan dinyatakan PM ketika mempengerusikan Mesyuarat Keselamatan Siber Negara Bilangan 1/2025 semalam.
Katanya, PM menegaskan bahawa keupayaan agensi berkaitan dengan kerjasama pelbagai institusi pendidikan serta industri tempatan, mampu memastikan Malaysia sentiasa bersedia dan berupaya menghadapi ancaman siber semasa dan akan datang.
Comments