top of page

Kerajaan pertahan haram filem Mentega Terbang, ada unsur promosi murtad



Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mempertahankan keputusan kerajaan mengharamkan filem Mentega Terbang kerana ia didapati bertentangan dengan akidah Islam kerana mempromosikan murtad sekali gus bertentangan dengan kepentingan awam.


Beliau dalam afidavit semakan kehakiman yang difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Mac lalu menyatakan penilaian Lembaga Penapisan Filem (LPF) terhadap filem itu mempromosikan pluralisme dan liberalisme agama yang boleh menggugat keimanan seseorang.


Katanya, filem itu juga mengandungi dakyah dan pengaruh Kristian yang diserapkan secara halus hingga boleh mempengaruhi pegangan agama penganut Islam.


"Mempertikaikan kewujudan syurga selepas kematian dan meracuni pemikiran umat Islam yang boleh menimbulkan kecelaruan fikiran khususnya kepada generasi muda.


"Filem tersebut boleh menimbulkan keresahan dan kemarahan dalam kalangan masyarakat Islam. Isu pluralisme dan liberalisme dikhuatiri boleh menggugat akidah sebahagian besar penonton," kata Saifuddin dalam afidavit yang dilihat oleh Suara Keadilan.


Jelas Saifuddin, bagi pandangan Cawangan Khas Polis Diraja Malaysia (PDRM) pula, filem itu mempunyai elemen penghinaan terhadap agama dengan kandungannya boleh menggemparkan orang ramai dan menjejaskan ketenteraman negara.


"Saya telah menonton sendiri filem tersebut bagi tujuan penelitian. Saya mendapati filem tersebut memaparkan watak utama Aisyah dan ibu bapanya yang semuanya beragama Islam tetapi tidak berpegang kepada akidah Islam dan melakukan perkara bertentangan dengan hukum Islam," katanya.


Tambahnya, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan dalam ulasannya pula menyatakan naratif yang dipersembahkan, Aisyah sebenarnya lebih cenderung kepada akidah kelahiran semula (reincarnation) berbanding akidah kebangkitan dan hari pembalasan.


Pada Januari lalu, penerbit dan pengarah filem Mentega Terbang didakwa di dua mahkamah majistret di Kuala Lumpur atas pertuduhan melukakan perasaan agama lain melalui filem itu tahun lalu.


Bagaimanapun, tertuduh yang juga penulis skrip Mohd Khairianwar Jailani, 32, dan penerbit, Tan Meng Kheng, 37, mengaku tidak bersalah.


Mengikut pertuduhan, kedua-dua mereka didakwa dengan sengaja berniat melukakan perasaan agama orang lain dengan melafazkan perkataan-perkataan dalam pendengaran orang itu dan meletakkan objek-objek dalam penglihatan orang itu dengan berperanan sebagai seorang Pengarah dan Penulis Skrip serta Penerbit Filem bertajuk Mentega Terbang.


Kesalahan itu dilakukan di sebuah premis di Diamond Regency, Jalan Semarak Api 2, Kuala Lumpue pada 12.34 tengah hari, 26 Februari tahun lalu.


Mahkamah Majistret pada Jun lalu bagaimanapun, membenarkan permohonan pengarah dan penerbit filem Mentega Terbang untuk merujuk dua persoalan Perlembagaan ke Mahkamah Tinggi, bersabit tuduhan melukakan perasaan penganut agama lain, yang dihadapi mereka.


Mereka juga memohon untuk merujuk kepada Mahkamah Tinggi bagi menentukan sama ada Seksyen 298 Kanun Keseksaan melanggar Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan yang melindungi kebebasan bersuara.


Mahkamah Tinggi akan mendengar kes mereka pada 24 Oktober ini.


Terdahulu filem tersebut telah dilarang ditayangkan di negara ini pada Ogos 2023 melalui Perintah Penapisan Filem (Larangan) 2023 mengikut Akta Penapisan Filem 2002.


Filem itu telah mendapat perhatian umum setelah diulas oleh penulis skrip Zabidi Mohamed di Facebooknya sebelum ia tular di platform media sosial.


Filem indie tempatan itu sebenarnya telah mula ditayangkan secara tertutup pada 2021 sebelum disiarkan melalui platform penstriman digital, Viu pada 2023 dan ia tidak pernah dikemukakan kepada LPF untuk kelulusan, kata Saifuddin.


"Filem tersebut turut ditayangkan kepada umum tanpa kelulusan LPF di beberapa lokasi antaranya Universiti Malaya pada 13 Januari 2023."

0 comments

Comments


PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
8,075
76
15,456
Total
2,285,640
26,759
2,116,021

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
393,631
6,015
582,401
Total
236,060,214
4,821,346
211,396,635

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

bottom of page