Oleh: Andre Lai Chen Heng
ULASAN: Dalam sambutan Festival Duanwu, atau Festival Perahu Naga yang jatuh pada hari kelima bulan kelima menurut kalendar Cina, kita boleh mengenang sumbangan Qu Yuan, seorang penyair patriotik dan pegawai setia di zaman purba tamadun Cina.
Beliau telah mengabdikan seluruh hidupnya untuk membantu raja tetapi kemudiannya difitnah oleh pegawai-pegawai yang dengki dan dituduh sebagai pengkhianat. Oleh kerana fitnah, Qu Yuan diusir dan semasa pengasingannya Qu Yuan menulis banyak puisi yang menunjukkan cinta semangatnya terhadap negaranya.
Akibat tidak mendengar nasihat Qu Yuan, maharaja gagal mempertahankan negara dan akhirnya ditakluk oleh musuhnya.
Setelah mendengar kekalahan itu, pada hari kelima bulan kelima tahun itu, Qu Yuan dalam kesedihan memilih untuk mengakhirkan hayatnya dengan terjun ke Sungai Miluo (sebuah cabang Sungai Yangtze) sebagai tanda terkorban bersama tanah air.
Tradisi perlumbaan perahu naga
Masyarakat pada masa itu terharu dengan pengorbanan Qu Yuan dan kemudian turun ke sungai dengan perahu dan menabur nasi pulut untuk menghalang ikan daripada memakan mayatnya.
Secara beransur-ansur, himpunan perahu berkembang menjadi perlumbaan perahu naga, zongzi menjadi makanan tradisional yang dimakan semasa festival.
Di Malaysia, meskipun perlumbaan perahu naga tidak sepopular di China dan Hong Kong, namun perayaan Duanwu masih disambut penuh kemeriahan dengan adanya santapan makanan nasi pulut ‘zongzhi’, yang mempunyai pelbagai jenis termasuk versi nyonya yang diadaptasi oleh masyarakat peranakan di zaman Kesultanan Melaka.
Bekerjasama mencapai matlamat
Tahun lepas, saya juga menulis cerita pengorbanan Qu Yuan tetapi berdasarkan landskap politik yang berbeza. Saya mengingatkan agar kita tidak menjadi Qu Yuan yang sedih, malah harus bangkit melawan ketidakadilan rejim pada masa itu.
Kisah Qu Yuan memberi inspirasi kepada kita untuk menilai semula makna kesetiaan dan patriotisme dalam konteks Malaysia moden. Seperti Qu Yuan yang berusaha untuk mereformasi negara Chu, kita juga perlu berani untuk memperjuangkan reformasi dalam sistem politik dan sosial kita yang penuh dengan ketidakadilan dan rasuah.
Perayaan Festival Duanwu juga boleh menjadi peluang untuk menghargai kepelbagaian budaya dan etnik di Malaysia. Seperti lumba perahu naga yang terdiri daripada pelbagai bahagian yang bekerja sama untuk mencapai matlamat bersama, kita juga perlu bersatu padu dan saling menghormati antara satu sama lain untuk membina negara yang lebih harmoni dan sejahtera. Satu kiasan yang amat tepat menggambarkan Kerajaan Perpaduan yang ada hari ini.
Era Malaysia Madani bermula dengan penuh harapan. Di bawah pemerintahan Datuk Seri Anwar Ibrahim kita tidak perlu jadi Qu Yuan.
Tahun ini, perayaan Duanwu jatuh pada 22 Jun 2023.
_______________________________________________________________________________
Penulis merupakan Naib Pengerusi KEADILAN Wilayah Persekutuan dan Ketua Cabang KEADILAN Wangsa Maju
コメント