Kerajaan Madani digesa mencari kaedah lebih murah dalam menjana tenaga elektrik berikutan kenaikan bahan api yang menyebabkan Tenaga Nasional Berhad (TNB) mengajukan cadangan kenaikan tarif elektrik bagi pengguna di Semenanjung Malaysia.
Menurut Timbalan Ketua Pemuda AMANAH Negeri Perak, Ahmad Munzirie Ahmad Kabir, kenaikan yang dicadang dan menjadi kontroversi apabila dimaklumkan kepada Bursa Malaysia itu seharusnya dielakkan.
Katanya, kenaikan tarif asas elektrik daripada 39.95 sen/kWj kepada 45.62 sen/kWj yang dijangka akan dilaksanakan mulai 1 Julai 2025 sekiranya diluluskan, agak berat untuk ditanggung oleh golongan menengah (M40) dan bawahan (B40) di negara ini.
"TNB perlu lebih prihatin dan cakna dengan realiti kehidupan rakyat. Walaupun syarikat utiliti menyatakan keperluan untuk menampung kos operasi dan pembangunan infrastruktur, beban ini tidak seharusnya dipindahkan terus kepada pengguna yang sudah tertekan dengan kos sara hidup yang semakin mencabar.
"Kerajaan perlu mencari jalan alternatif lain untuk membiayai kos penjanaan dan pembangunan infrastruktur elektrik.
"Ini termasuk mengkaji semula kebergantungan kepada sumber gas dan sumber arang batu yang menjadi penyumbang utama kepada peningkatan kos. Peralihan kepada kos tenaga baharu yang lebih efektif perlu dipercepatkan," katanya dalam kenyataan.
Bagi Munzirie, pertimbangan utama yang mesti difikirkan dalam semakan tarif elektrik yang berlaku dalam tempoh tertentu ialah keadaan rakyat yang masih terbeban dengan kenaikan harga barang, kenaikan kos perumahan, dan tekanan inflasi.
Kenaikan tarif elektrik, katanya, akan memberi impak besar bukan sahaja kepada perbelanjaan utiliti isi rumah tetapi akan turut mendorong kepada kenaikan harga barang dan perkhidmatan yang lain.
"Pemuda AMANAH menggesa kerajaan menimbang semula kadar kenaikan tarif elektrik sehingga keadaan ekonomi rakyat lebih stabil dan mampan.
"Mekanisme subsidi yang lebih efektif perlu dirangka untuk melindungi terutamanya golongan B40 dan M40.
"Kerajaan juga perlu mempercepatkan peralihan kepada sumber tenaga yang lebih efektif, selain mengkaji semula penstrukturan yang melibatkan kos-kos TNB yang lebih besar bagi mengelakkan bebanan yang akan ditanggung kepada rakyat amnya," kata kenyataan itu lagi.
Untuk rekod, cadangan kenaikan tarif elektrik sebanyak 5.67 sen/kWj atau 14.2 peratus bagaimanapun masih tidak dipersetujui kerajaan.
Manakala kenyataan TNB kepada Bursa Malaysia minggu lalu tidak merujuk kerajaan terlebih dahulu sehingga menimbulkan spekulasi bahawa kenaikan telahpun diluluskan.
Opmerkingen