Oleh: Noraini Nordin
PENDAPAT: Keresahan pelbagai pihak terhadap pengaruh negatif TikTok bukanlah perkara baharu, malah semakin kerap kedengaran sejak akhir-akhir ini.
Tsunami TikTok di negara ini dilihat lebih membawa mudarat yang berpanjangan dan ada yang mengambil kesempatan menggunakan TikTok sebagai virus beracun untuk menyebarkan fitnah hingga menghancurkan keharmonian hidup bermasyarakat.
Tanpa disedari virus fitnah melalui TikTok lebih mudah menyusuri salur darah pengguna kerana dikhayalkan dengan elemen muzik yang pelbagai.
Sampai bila kerajaan mahu mengulang amaran demi amaran untuk mengambil tindak keras sedangkan hidangan fitnah berlangsung setiap detik.
29 negara haram TikTok
Apatah lagi, sekurang-kurangnya sudah 29 negara mengharamkan TikTok dengan yang terbaru berbuat demikian ialah Nepal.
Alasan yang digunakan ialah risiko kepada keselamatan negara dan pengaruh negatif yang dibawanya kepada rakyat.
Dalam konteks negara kita, apakah kita juga wajar mengharamkan TikTok?
Tidak dinafikan sejak wujudnya TikTok, pengaruh media sosial lain atau yang sedia ada mulai mengalami penurunan yang ketara.
TikTok dengan kandungan berbentuk video pendek lebih mudah menjadi tarikan serta minat masyarakat dengan mendadak.
Meskipun TikTok boleh juga dimanfaatkan untuk kebaikan, mempromosi perniagaan dan sebagainya, tetapi kecenderungan dan minat ramai ternyata lebih terarah kepada yang negatif.
Malah, kumpulan kiri, penentang kerajaan, pemecah belah masyarakat, pengadu domba kaum, penghasut kebencian dan penyebar berita palsu terlihat lebih memaksimumkan saluran media sosial TikTok ini untuk kepentingan mereka.
Mereka menggunakan pelbagai kaedah yang untuk menjadikan apa yang disebarkan itu lebih menarik untuk ditonton.
Masyarakat terleka dengan TikTok
Tidak kurang, TikTok juga memberi kelekaan serta ketagihan yang melampau kepada anggota masyarakat, terutama golongan remaja dan anak-anak yang masih bersekolah.
Akhirnya, beban kerosakan yang berlaku dalam masyarakat dan negara terpaksa ditanggung oleh kerajaan, sedangkan mereka yang berbuat kejahatan itu lepas tangan begitu saja.
Dalam tempoh jangka panjang, mampukah kerajaan menanganinya?
Atau tiada TikTok, keadaan negara, keharmonian masyarakat dan hubungan antara kaum akan jadi lebih aman?
Secara perbandingan, memang tidak dinafikan, jika kebaikan untuk masa depan negara dan generasi pewaris yang menjadi keutamaan kerajaan, mengharamkan TikTok adalah langkah yang munasabah dan wajar sekali untuk diambil.
Meski barangkali tindakan mengharamkan TikTok akan menyebabkan kerajaan dilabel cuba menyekat kebebasan, namun membiarkan kebebasan yang tidak terkawal adalah sama seperti mengundang bahaya kepada negara dengan sengaja.
Dalam hal ini, bukankah tanggungjawab utama kerajaan ialah memastikan negara dan masa depan rakyatnya sentiasa terjamin berbanding membiarkan mereka diancam bahaya yang makin parah daripada semasa ke semasa?
Sudah tiba masanya kerajaan perlu mengambil langkah lebih berani dengan mengharamkan TikTok di negara ini.
_______________________________________________________________________________
Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tiada kaitan dengan pandangan rasmi Suara Keadilan.
Comments