top of page

Kerajaan, pembangkang eratkan perlu kembali hubungan antara kaum



Puluhan NGO, aktivis masyarakat sivil, tokoh akademik, agamawan dan profesional Melayu menyeru agar kerajaan serta pembangkang di negara ini sama sama menautkan kembali hubungan antara kaum dan bersikap profesional dalam berpolitik.


Menurut kenyataan kumpulan berkenaan, rakyat tidak boleh lagi terus diapi apikan dengan perkauman sempit dan kebencian, lebih lebih lagi di negara Malaysia yang berbilang kaum.


"Bibit-bibit prasangka antara kaum, agama, serta wilayah perlu ditangani dengan tuntas. Keseimbangan pembangunan wilayah bandar dan luar bandar serta dasar negara yang mengangkat nilai-nilai warga yang disatukan atas nama Bangsa Malaysia adalah penting sebagai pemboleh ubah yang mampu mengubah lanskap sosio-politik negara yang dihimpit polarisasi yang membimbangkan.


"Kami menggesa agar pihak pembangkang dalam hal ini untuk turut sama berperanan secara profesional dan matang sebagai mekanisme semak dan imbang dengan meletakkan isu perpaduan di hadapan.


"Rakyat sudah muak dengan permainan politik yang keterlaluan sehingga menggugat kestabilan politik dan ekonomi negara.


"Peristiwa Langkah Sheraton misalnya adalah mimpi ngeri yang harus dijadikan iktibar bagaimana nasib serta mandat rakyat telah dicabul demi memuaskan nafsu politik sesetengah individu.


"Tiba masanya untuk semua ahli politik, sama ada kerajaan atau pembangkang berjiwa besar berperanan mengeratkan semula perpaduan kaum dan agama berasaskan semangat Rukun Negara dan Perlembagaan Persekutuan," kata NGO dan tokoh tokoh masyarakat berkenaan dalam satu kenyataan.


Kenyataan itu juga menegaskan bahawa usaha berterusan untuk mempertikaikan perlantikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hendaklah dihentikan serta merta bagi menjamin keyakinan antarabangsa dan mudahnya pelaburan asing masuk untuk memulihkan ekonomi negara.


Begitu juga, Perdana Menteri kata mereka perlu berperanan meredakan keresahan rakyat terutama berkenaan kos sara hidup yang melambung.


"Kewibawaan Perdana Menteri untuk menerajui kepimpinan negara tidak perlu diragui. Kepercayaan perlu diberikan untuk beliau menerajui perubahan dengan mengatasi masalah kos sara hidup rakyat dan pemulihan ekonomi negara secara menyeluruh.


"Kami juga meletakkan harapan kepada Perdana Menteri menumpukan usaha memperkukuh perpaduan kaum yang menjadi teras kestabilan negara, dengan pendekatan bersepadu, bermatlamat mewujudkan suasana Hidup Bersama Dalam Budaya Damai menjadi kenyataan.


"Justeru amat penting bagi kerajaan perpaduan pimpinan Perdana Menteri mengembalikan kepercayaan rakyat, dengan menitikberatkan soal tatakelola yang baik. Ini termasuk menangani kecurangan amanah yang menjadi asbab prasangka serta hilang kepercayaan seluruh warga ke atas pemerintah," kata mereka lagi.


Kenyataan itu turut menasihati umat Islam Malaysia untuk tidak berkompromi dengan politik fitnah dan adu domba berpandukan ayat 12 Surah Al Hujarat yang bermaksud: “Wahai orang yang beriman jauhilah kebanyakan dari prasangka, karena sesungguhnya sebahagian dari prasangka itu adalah dosa dan janganlah sebahagian kamu mengata-ngata kesalahan dan keaiaban setengahnya yang lain. Apakah kamu suka memakan daging saudaramu yang telah mati? (Jika demikian keadaannya) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. Jadi patuhilah larangan-larangan tersebut dan bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Penerima Taubat lagi Maha Penyayang.”.


Kenyataan tersebut dikeluarkan antaranya oleh pertubuhan ABIM, WADAH, MAPIM, PKPIM, Pertubuhan Muafakat Berkat Intelek, Akademi Nunji juga ilmuan Islam seperti Dr Abdul Halim Muhammady, Prof Dr Ismail Abdullah, Prof Dr Nordin Lajis, Prof Dr Mohd Lazim dan lain lain.

 
 

Comments


PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
8,075
76
15,456
Total
2,285,640
26,759
2,116,021

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
393,631
6,015
582,401
Total
236,060,214
4,821,346
211,396,635

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page