Kerajaan Madani akan berusaha sedaya upaya untuk melaksanakan titah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar sempena Istiadat Pembukaan Penggal Keempat Parlimen Kelima Belas di Dewan Rakyat pagi tadi.
Menurut Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Anwar Ibrahim, titah Yang di-Pertuan Agong amat tepat dalam memastikan pentadbiran kerajaan berjalan lancar serta mengaplikasikan tata kelola baik dan memastikan kekayaan negara dapat dinikmati semua rakyat.
"Menjunjung kasih atas kesudian KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim yang mencemar duli menyempurnakan Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Parlimen Ke-15 hari ini.
"Titah Tuanku jelas menzahirkan keprihatinan terhadap usaha memastikan pentadbiran Kerajaan berjalan lancar dan terus membawa masuk pelbagai peluang pelaburan agar kemajuan ekonomi negara dapat dinikmati dan dimanfaatkan rakyat jelata.
"Patik dan seluruh jentera Kerajaan MADANI akan memastikan kek ekonomi ini digunakan untuk pembangunan negara meliputi segenap lapisan masyarakat termasuk pekebun kecil, petani, nelayan dan pemain industri pertanian serta rantaian bekalan makanan negara," katanya dalam muatnaik di Facebook.
Dalam pada itu, PM juga teruja dengan keprihatinan baginda menyentuh penggunaan teknologi terkini dalam pentadbiran negara.
"Tuanku dalam titah turut menyentuh kepentingan menggunapakai teknologi tinggi dan terkini dari aspek digitalisasi dan keselamatan siber, justeru patik percaya, ini akan membawa kepada revolusi sistem penyampaian dan perkhidmatan kerajaan yang lebih baik apabila selesai dinaiktaraf sepenuhnya," katanya.
Sehubungan itu, PM memanjatkan doa dan harapan semoga bumi bertuah Malaysia akan kekal aman makmur serta berdaya saing berpanjangan di bawah pemerintahan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim.
Comments