Kerajaan Negeri Selangor tampil menjawab kritikan sesetengah penyokong parti tertentu yang cuba mengaitkan keputusan seorang penceramah agama popular ustaz Wadi Annuar Ayub membatalkan programnya di negeri itu.
Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari menegaskan Kerajaan Negeri tidak campur tangan atas mana-mana keputusan membabitkan larangan atau kelulusan ceramah di surau atau masjid di negeri itu kerana ia berada di bawah bidang kuasa dan kearifan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).
"Ustaz Mohamad Wadi (penceramah bebas) kena tanya Pengarah JAIS, saya tidak pasti sebab program sedemikian di bawah kelolaan JAIS.
"Saya tidak pasti sebab hal-hal ini adalah hal teknikal sebab pendaftaran, pemeriksaan itu semua dikelolakan oleh JAIS Bahagian Pentauliahan dan biasanya mereka ada perinciannya," katanya ketika ditemui pada Program #KitaSelangor Penyayang di Banting Waterfront semalam.
Terdahulu media melaporkan dua ceramah agama oleh pendakwah bebas, Mohamad Wadi Annuar Ayub di Selangor pada 10 dan 11 Mac depan dibatalkan.
Dua lokasi tersebut ialah Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz, Shah Alam dan Padang Astaka Tanjung Karang, Selangor.
Bagaimanapun menurut laporan itu, Mohamad Wadi dalam siaran di Facebook tidak mendedahkan sebarang alasan berhubung pembatalan ceramah di kawasan berkenaan.
Penyokong pihak tertentu kemudian didapati membanjiri ruangan komen Facebook agensi berita yang melaporkan pembatalan itu dengan sebahagian mereka meninggalkan kecaman terhadap kerajaan Selangor.
Walau bagaimanapun di ruangan komen Facebook Sinar Harian, segelintir pengguna laman sosial meninggalkan komen yang rasional dengan menegaskan bahawa pembatalan itu tidak wajar dipolitikan.
"Jangan politikkan isu ini dan putar belit. Masjid tempat semua tak kira parti apa yang kita sokong.
"Jadi berhentilah mempolitikkan isu tauliah," kata Hasnul Baharuddin.
Dalam pada itu, Pengarah JAIS, Datuk Mohd Shazihan Ahmad ketika dihubungi media berkata, semua individu yang mengajar tentang agama di Selangor perlu mematuhi undang-undang dan peraturan ditetapkan.
"Kita seorang yang beragama perlu menghormati sistem, jika permohonan (untuk mengadakan ceramah dibuat) masih dalam proses kena tunggu sehingga ia selesai.
"Mana boleh hanya sebab jika dia 'public figure' dan semua proses itu perlu dipendekkan, kita kena hormat semua pihak dan juga perlu menghormati sistem yang telah ditetapkan," katanya dipetik.
Kommentare