top of page

Kerajaan N Sembilan lancar tabung pembinaan pangsapuri di Gaza


DS Aminuddin Harun melancarkan tabung membina pangsapuri Bandar Wakaf Malaysia-Gaza. Foto: Negeri Kita
DS Aminuddin Harun melancarkan tabung membina pangsapuri Bandar Wakaf Malaysia-Gaza. Foto: Negeri Kita

Kerajaan Negeri Sembilan mendahului negeri lain dalam menyertai projek pembangunan Bandar Wakaf Malaysia-Gaza dengan melancarkan tabung pembangunan pangsapuri yang menyasarkan jumlah kutipan RM4.5 juta.


Menurut Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun sebanyak RM1 juta daripada kutipan akan disalurkan kepada Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) bagi tujuan kerja pembangunan awal.


Katanya, insiatif terbabit bukan hanya bertujuan menyediakan kemudahan pangsapuri wakaf tetapi juga secara keseluruhannya membina sebuah bandar baharu di Gaza.


"Rasa kasih, rasa sedih, rasa sayu harus kita terjemahkan sebagai kesungguhan kita untuk sama-sama menyumbang walaupun sedikit. Kita sumbang sebenarnya (adalah) bagi memastikan pembangunan Palestin itu dapat kita segerakan.


"Oleh itu, kita harap dapat kutip lebih (RM4.5 juta) daripada itu. Kita bukan sahaja mahu sediakan kemudahan apartmen wakaf yang dirancang tetapi yang penting sama-sama menyumbang dalam bandar baharu itu nanti," katanya dipetik pada Majlis Pelancaran Tabung Apartmen Wakaf Negeri Sembilan di Masjid Negeri.


MB juga mencadangkan wakaf tersebut boleh dilakukan melalui potongan gaji sebanyak RM50 hingga RM100 setiap bulan atau lebih, bergantung kepada kewangan individu.


Sebelum ini media melaporkan projek Bandar Wakaf Malaysia di Gaza yang dilancarkan selepas Ramadan ini bakal menjadi model pertama pembangunan wakaf Malaysia di Palestin, sekali gus memperlihatkan bukti solidariti negara terhadap rakyat Palestin.


Projek tersebut dianggarkan membabitkan pembangunan 14 blok pangsapuri wakaf yang mewakili setiap negeri di Malaysia.


Bandar baharu itu akan dibangunkan dengan kemudahan seperti masjid, sekolah, klinik kesihatan, taman rekreasi dan menara tangki air membabitkan kos keseluruhan sekitar RM120 juta.

Comments


PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
8,075
76
15,456
Total
2,285,640
26,759
2,116,021

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
393,631
6,015
582,401
Total
236,060,214
4,821,346
211,396,635

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page