Kerajaan MADANI tidak pernah mengabaikan rakyat Kelantan biar pun negeri itu merupakan kubu kuat Perikatan Nasional pada Pilihan Raya Negeri 2023 lalu.
Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Kerajaan Persekutuan tetap menyalurkan bantuan pembangunan berupa projek tebatan banjir, bekalan air dan sebagainya yang amat diperlukan oleh rakyat di negeri berkenaan.
Hal itu dinyatakan beliau sewaktu menyantuni masyarakat di Kota Bharu dalam Majlis Sambutan Aidilfitri MADANI 2024 Peringkat Negeri Kelantan di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC), Bandar Baru Tunjong seusai PM menghabiskan lawatan kerja seharinya menghadiri Taklimat Pembangunan Negeri Kelantan bersama Menteri Besar Kelantan.
"Saya sempat titipkan pesanan, yang senada dengan Menteri Besar agar pergeseran politik yang berterusan tidak akan menguntungkan rakyat termasuk di Kelantan amnya, yang perlu mendapat manfaat dari program yang telah dirancang, baik secara jangka pendek mahupun jangka panjang.
"Saya jelaskan, tidak benar sama sekali Kerajaan MADANI mengabaikan negeri ini kerana tahun lalu, telah diberikan jumlah peruntukan yang banyak untuk projek tebatan banjir, bekalan air dan perhatian dalam pendidikan Islam di Kelantan termasuk pembinaan maahad tahfiz yang baharu," katanya malam tadi.
Sebelum pulang ke ibu kota, PM mengulangi janji bahawa Kerajaan MADANI akan melakukan yang sebaiknya agar Kelantan dapat membangun seiring negeri negeri lain.
Comments