Kerajaan MADANI tidak pernah meminggirkan negeri pembangkang, sebaliknya sentiasa memberikan penumpuan kepada soal pembangunan termasuk di Kelantan.
Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar berkata, kerajaan komited dalam memastikan semua projek pembangunan di negeri berkenaan khususnya di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) dipercepatkan.
Hal itu antaranya dengan mempertingkatkan akses keterhubungan antara wilayah di negeri itu melalui pembinaan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL)
"Termasuk memastikan isu yang dibincangkan dalam lawatan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Kelantan baru-baru ini tidak tertangguh dan dilaksanakan segera," katanya menerusi hantaran di laman sosial Facebook rasminya pada Selasa.
Terdahulu, Shamsul Azri menerima kunjungan Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan (SUK), Datuk Nazran Muhammad serta barisan pegawai kanan SUK di pejabatnya, di Putrajaya.
Pada pertemuan itu Nazran telah memberi cadangan agar lebih banyak kerjasama strategik dapat dimainkan khususnya pasca Deklarasi Kuala Lumpur - Tekad Bersama Perkhidmatan Awam Malaysia yang dimeterai pada 24 November lalu.
Deklarasi itu yang dilancarkan pada Program Dua Tahun Kerajaan MADANI (2TM) dan Konvensyen Nasional Reformasi Perkhidmatan Awam Tahun 2024 itu merupakan lambang solidariti penjawat awam dalam memperkukuh komitmen bersama untuk memastikan penyampaian perkhidmatan awam yang cekap, telus dan berkesan di seluruh peringkat Persekutuan dan negeri.
Comments