Kerajaan Madani Selangor di bawah pentadbiran Menteri Besar (MB) Datuk Seri Amiruddin Shari mentatat kejayaan luar biasa sepanjang 2024 lalu.
Menurut Ketua Penerangan KEADILAN Selangor, Halimey Abu Bakar, kejayaan mencatatkan prestasi kewangan terbaik sejak tujuh tahun lalu itu merupakan rekod yang hebat untuk dikenang.
"Hasil usaha Menteri Besar Selangor bersama seluruh barisan kepimpinan Kerajaan Madani Selangor maka pada 31 Disember 2024, rekod telah mencatatkan prestasi dan kedudukan kewangan kerajaan melebihi sasaran yang ditetapkan.
"Perkara ini dapat dilihat dari segi kutipan hasil yang mencatatkan pencapaian sehingga 29.93% melebihi sasaran (RM2,858.36 juta) termasuklah kutipan premium tanah yang mencatatkan pencapaian sebanyak 55.53% melebihi sasaran (RM1,385.65 juta)," katanya dalam kenyataan.
Selain itu, ujar Halimey, Kerajaan Madani Selangor juga berjaya menjimatkan perbelanjaan kerajaan apabila menggunakan sekitar 98.07% (RM1,554.37 juta) dari peruntukan keseluruhan belanja mengurus untuk tahun 2024.
Malah, katanya, penjimatan juga direkodkan untuk belanja pembangunan di mana hanya 97.18% (RM1,205.02 juta) digunakan daripada peruntukan keseluruhan untuk tahun 2024.
"Secara keseluruhannya pentadbiran Kerajaan Madani Selangor berjaya mencatatkan lebihan kewangan untuk tahun 2024 sebanyak RM98.99 juta.
"Rekod ini adalah kutipan dan penjimatan tertinggi dihasilkan ketimbang kejayaan terbaik pentadbiran mantan Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali pada tahun 2017.
"Kejayaan pentadbiran MB Datuk Seri Amirudin pada tahun 2024 menunjukkan keupayaan Kerajaan Madani Selangor untuk mencatatkan lonjakan yang lebih memberangsangkan menjelang tahun 2025," katanya lagi.
Tegas Halimey, fitnah dan tohmahan yang dilemparkan oleh sesetengah pihak bagi mengelirukan rakyat telah dijawab dengan data dan fakta kehebatan ekonomi.
Data dan fakta tersebut, katanya, menjadi kayu ukur kejayaan pentadbiran Kerajaan Madani Selangor ketimbang pentadbiran sebelum ini.
Comentarios