Kerajaan Madani memberi lebih tumpuan bagi menyelesaikan isu-isu yang membelenggu negeri Kelantan termasuk isu banjir yang sering melanda.
Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sehubungan itu pentadbirannya akan menyegerakan peruntukkan kewangan yang mencukupi bagi mengatasi masalah banjir terutama di Rantau Panjang yang berpunca dari muara Sungai Golok.
Malah jelasnya, usaha itu turut dibincangkan bersama Perdana Menteri Thailand, Srettha Thavisin pada pertemuan sempena lawatan kerja ke Rantau Panjang dan Sungai Golok pada Sabtu.
"Antara punca (banjir) adalah sungai (Sungai Golok) yang tidak diurus kerana tidak dibersihkan dan tidak dikorek di muara sungai kerana sebahagian tanah ialah milik Malaysia dan sebahagian lagi milik Thailand.
"Jadi, saya beritahu Perdana Menteri Thailand (Srettha), selagi tidak digali muara sungai itu, limpahan air akan terkesan di Kelantan dan di sekitar Narathiwat ... dan kita saksikan tahun demi tahun perkara ini berlarutan," katanya dipetik pada sidang akhbar di Pejabat Tanah dan Jajahan Pasir Mas.
Sementara itu, ketika ditanya mengenai perkembangan Projek Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) Sungai Golok yang juga bertujuan menangani masalah banjir terutama di Rantau Panjang, Anwar berkata, beliau telah meminta projek itu disegerakan.
"Projek telah diluluskan dan wang disediakan cuma mengikut pakar kejuruteraan apabila melibatkan jambatan atau tebatan banjir, skop kajian sangat teliti," katanya dan menambah beliau memahami penyelesaian masalah banjir paling dinanti-nantikan penduduk yang sering terkesan dengan bencana itu.
Comments