Oleh: Akmal Manaf
Kejayaan Kerajaan Madani menoktahkan isu doktor berstatus kontrak kepada lantikan tetap dijangka dapat membantu menghasilkan lebih ramai pakar dalam bidang perubatan di negara ini.
Penyelaras Parlimen Hulu Selangor, Dr N Sathia Prakash berkata dengan mendapat jawatan yang stabil, golongan berkenaan akan lebih fokus untuk mempertingkatkan kemahiran dan pengetahuan, sekali gus memberi manfaat lebih besar kepada sektor kesihatan negara.
Beliau berkata, isu kakitangan kontrak di Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sudah lama berlarutan tanpa penyelesaian konkrit daripada kerajaan sebelum ini, sekali gus mencetuskan insiden hartal oleh doktor-doktor.
"Namun, di bawah kepimpinan kerajaan Datuk Seri Anwar Ibrahim, terdapat 'cahaya di hujung terowong' dan saya berharap ia akan menjadi permulaan yang baik untuk penyelesaian kepada masalah tersebut.
"Penyelesaian jangka panjang ini diharapkan dapat memperkukuhkan sektor kesihatan dan memastikan kelangsungan serta kecemerlangan dalam perkhidmatan perubatan di negara ini," katanya ketika dihubungi Suara Keadilan.
Beliau diminta mengulas mengenai kejayaan Kerajaan Perpaduan menyelesaikan isu doktor kontrak yang sudah berlarutan lebih sedekad lamanya.
Dalam pada itu, Dr Sathia yang juga Timbalan Setiausaha Agung KEADILAN memuji keputusan kerajaan menyerap seramai 3,950 kakitangan KKM ke status lantikan tetap.
Susulan perkembangan positif ditunjukkan Kerajaan MADANI itu, katanya, diharapkan kakitangan yang telah diserap sebagai pekerja tetap itu dapat menunjukkan prestasi terbaik dalam melaksanakan tugas masing-masing.
"Ini diharapkan dapat membuka peluang kepada lebih ramai kakitangan kontrak di KKM untuk diberikan status lantikan tetap pada masa hadapan," ujar beliau yang juga Ketua Cabang KEADILAN Hulu Selangor.
Pada 21 Oktober lalu, seramai 3,950 kakitangan KKM diberi status lantikan tetap oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA).
Jumlah berkenaan membabitkan 3,200 pegawai perubatan, diikuti pegawai pergigian (350) dan pegawai farmasi (400) yang memohon lantikan kontrak (interim) di KKM.
Comments