![](https://static.wixstatic.com/media/4449e2_7d05f73d5d4447ad820036bc6a4da56d~mv2.jpg/v1/fill/w_642,h_462,al_c,q_80,enc_auto/4449e2_7d05f73d5d4447ad820036bc6a4da56d~mv2.jpg)
Kerajaan Madani komited menangani isu sekolah padat terutama di kawasan berpenduduk tinggi sebagai usaha memenuhi keperluan pendidikan.
Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata, menerusi Belanjawan 2025 kerajaan meluluskan pembinaan 44 sekolah sekaligus paling banyak dalam tempoh empat tahun terkini.
"Saya kongsikan pembinaan sekolah yang diluluskan dalam belanjawan mengikut tahun bagi empat tahun terakhir iaitu 2025 sebanyak 44 buah, 2024 (26) dan masing-masing sembilan buah bagi tahun 2023 dan 2022.
"Dua tahun terakhir kerajaan telah berusaha meningkatkan pembinaan sekolah baharu bagi memenuhi keperluan dan menangani isu sekolah padat terutamanya di kawasan bandar serta pelbagai lagi usaha dijalankan oleh Kementerian Pendidikan," kata Ahli Parlimen Nibong Tebal itu dipetik.
Fadhlina ditemui pemberita selepas Majlis Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina anjuran KEADILAN Pulau Pinang di Sungai Bakap pada Ahad.
Terdahulu beliau diminta mengulas rungutan ibu bapa di laman sosial yang mendakwa jumlah murid darjah satu yang ramai sehingga 50 orang dalam satu-satu kelas di beberapa sekolah di bandar.
Sementara itu jelasnya, Kementerian Pendidikan (KPM) mengambil perhatian penuh berhubung perkara itu terutama dari segi kondusi dan suasana murid-murid serta guru yang terlibat serta memberi jaminan tindakan bersesuaian akan diambil segera antaranya menempatkan mereka di sekolah lain.
Justeru beliau memohon kerjasama ibu bapa terlibat agar mengadakan perbincangan dengan Jabatan Pendidikan Negeri dan Pejabat Pendidikan Daerah berdasarkan kepada unjuran-unjuran yang telah dilakukan.
Comments