
Kerajaan MADANI memberi jaminan tidak akan meminggirkan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dalam bidang pertanian.
Timbalan Perdana Menteri yang juga Pengerusi Majlis TVET Negara (MTVETN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, sebaliknya kerajaan akan memperkasa pendidikan TVET dalam bidang itu.
"Kerajaan tidak pernah meminggirkan sektor TVET pertanian... Insya-Allah kita akan berikan tumpuan yang lebih supaya perkembangan bidang TVET berasaskan pertanian dan bukan pertanian dapat diperkasakan.
"Saya bersama MTVETN akan meneliti perkara ini supaya bakat seperti juruteknik dan jurutera pertanian dapat disantuni dan berikan keutamaan,” katanya dipetik pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat pada Khamis.
Sementara itu beliau menegaskan dengan ekosistem TVET yang disediakan kerajaan termasuk kadar kebolehpasaran graduan dalam industri telah menjadikan bidang itu kini menjadi pilihan utama dalam kalangan pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Kadar kebolehpasaran graduan TVET secara purata nasional kini mencecah 94.5 peratus, manakala graduan daripada institusi TVET di bawah Majlis Amanah Rakyat (MARA) pula pada kadar 98.7 peratus dan bidang pertanian mencatatkan 80 peratus.
"Pendekatan KPM (Kementerian Pendidikan) dalam bidang STEM (Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik) berjaya, namun minat dalam kalangan pelajar agak kurang, jadi jawapannya adalah melalui TVET.
"Pada tahun 2023, lebih 10,000 calon SPM berdaftar dan tahun lepas, lebih 8,000 calon berdaftar tidak hadir menduduki SPM, justeru kita memberikan peluang kedua kepada mereka melalui TVET... kita tak mahu jadikan TVET sebagai pilihan kedua, sebaliknya yang pertama pelajar," katanya.
Comments