
Kejayaan meluluskan Rang Undang Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2025 dan RUU Perkhidmatan Parlimen 2025 semalam merupakan kejayaan Kerajaan Madani menunaikan janji politiknya kepada rakyat.
Tawaran untuk mereformasikan parlimen pernah dibuat sejak beberapa pilihanraya lalu namun tidak pernah tertunai meskipun Pakatan Harapan pernah menjadi kerajaan pada 2018 - 2020.
Bagi Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil, RUU itu sepatutnya disokong oleh pembangkang kerana sebahagian daripada mereka dahulu pernah mengharapkan kebebasan parlimen dan akta khusus yang berfungsi mentadbir parlimen.
Namun katanya, pembangkang pada perbahasan semalam amat mengecewakan dan jauh daripada menyempurnakan tugas semak dan imbang mereka.
"Bukan setakat perbahasan jauh menyimpang daripada apa yang dibentangkan, malah pembangkang sendiri menunjukkan sikap tidak mahu membantu dalam proses memastikan Parlimen itu bebas.
"Sedangkan Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) 2025 yang diluluskan oleh Dewan Rakyat bertujuan mereformasi institusi dan menambah baik institusi demokrasi utama negara," katanya dalam muat naik di Facebook.
Justeru itu, Fahmi mengucapkan tahniah kepada Ahli Parlimen Kerajaan yang telah memberi sokongan padu 2/3 majoriti sehingga membolehkan pindaan Perlembagaan Persekutuan bagi merealisasikan Akta Perkhidmatan Parlimen .
"Saya bagi pihak kerajaan ingin menyatakan penghargaan kepada 148 ahli Dewan Rakyat yang telah mengundi untuk meminda Perlembagaan, membolehkan Yang Dipertua Dewan Rakyat dan Yang Dipertua Dewan Negara untuk menyertai Majlis Perkhidmatan Parlimen yang akan diwujudkan, Insya-Allah.
Ini satu detik bersejarah. Kerajaan MADANI berjaya mengembalikan proses untuk mendemokrasikan institusi Parlimen," katanya lagi.
Pindaan RUU bertujuan menubuhkan Perkhidmatan Parlimen sebagai suatu entiti yang berasingan daripada perkhidmatan awam dibentangkan untuk bacaan kali kedua oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
RUU kemudian diluluskan melalui undi belah bahagi dengan sokongan majoriti 148 Ahli Parlimen, selepas ia dibahaskan oleh 18 wakil rakyat.
Comentários