Kerajaan MADANI sudah meluluskan pelaburan digital bernilai RM141.72 bilion dalam tempoh Januari hingga Oktober 2024 dengan sebanyak 41,078 peluang pekerjaan diwujudkan dalam sektor sama.
Menteri Digital, Gobind Singh Deo berkata di Dewan Rakyat, pelbagai inisiatif dilaksanakan kementeriannya untuk menarik lebih banyak pelaburan dalam ekonomi digital termasuk melalui kerjasama syarikat tempatan dan antarabangsa untuk meningkatkan keyakinan pelabur terhadap pasaran Malaysia.
"Kementerian menetapkan bahawa pelaksanaan program dan inisiatif pendigitalan negara adalah mengutamakan pengukuhan infrastruktur digital, ketahanan siber dan juga pembangunan bakat digital.
"Tumpuan kita adalah untuk melihat bagaimana kita boleh menarik pelaburan, menarik lebih perhatian kepada Malaysia sebagai satu hab digital dan juga memberikan tumpuan supaya peluang pekerjaan baharu akan wujud di Malaysia bertujuan mendukung ekosistem baharu ini," katanya dipetik menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2025 peringkat dasar bagi kementeriannya pada Selasa.
Mengulas lanjut Gobind berkata, Majlis Ekonomi Digital dan Revolusi Perindustrian Keempat Negara (MED4IR) ditubuhkan bagi memantau pelaksanaan Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia dan Dasar Revolusi Perindustrian Keempat Negara (4IR).
"Buat masa ini, negara berada di Fasa 2 (2023 - 2025) apabila negara memberi tumpuan kepada usaha memacu transformasi dan inklusiviti digital dengan menitikberatkan inklusiviti dalam kalangan rakyat dan semua peringkat perniagaan.
"Fasa seterusnya 2026 - 2030 adalah untuk meletakkan Malaysia sebagai negara pengeluar pasaran serantau bagi produk digital dan penyedia penyelesaian digital," tambahnya.
Comments