Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook mengumumkan kerajaan bersetuju untuk melanjutkan tempoh subsidi tambang penerbangan musim perayaan.
Bercakap pada sidang media selepas melancarkan Tambang AirAsia ke Sabah dan Sarawak sempena sambutan Tahun Baru Cina di AirAsia RedQ di Sepang pada Selasa beliau berkata, inisiatif kadar tambang penerbangan maksimum RM499 pada musim perayaan itu dipanjangkan daripada tiga kepada empat hari bermula Krismas ini.
Usaha itu jelasnya akan terpakai bagi perayaan-perayaan pada tahun hadapan untuk penerbangan antara Semenanjung ke Sabah dan Sarawak.
"Kerana kita menjangkakan lebih ramai akan balik pada hujung minggu, jadi empat hari ini (sebelum tarikh perayaan) akan diberikan bantuan subsidi.
"Ini sudah tentunya akan memberikan kemudahan dan juga satu harga tambang yang lebih kompetitif dan lebih baik buat penumpang.
"Kerajaan Malaysia mengambil langkah ini sebagai intervensi untuk menetapkan harga tiket (tiket penerbangan) semasa musim perayaan. Kita sedia maklum kadangkala harga tiket melambung naik kerana ia berdasarkan mekanisme harga dinamik
"Kita harap lebih ramai rakyat Malaysia akan mendapat manfaat daripada inisiatif ini," katanya dipetik.
Sementara itu beliau yang juga Ahli Parlimen Seremban berkata, pelanjutan itu melibatkan tambahan perbelanjaan kerajaan dan dianggarkan menelan kos sebanyak RM20 juta.
Setakat ini Kementerian Kewangan telah memperuntukkan sebanyak RM48 juta kepada Kementerian Pengangkutan untuk menjayakan insiatif itu serta inisiatif FlySiswa iaitu subsidi tiket penerbangan bagi golongan pelajar yang melibatkan penerbangan laluan domestik antara Semenanjung, Sabah, Sarawak serta Labuan.
"Secara purata, subsidi untuk setiap kerusi bagi seorang penumpang ialah RM406. Bagi tahun ini, kita telah membelanjakan hampir RM12.5 juta," jelasnya.
Comments