Kerajaan dijangka akan melancarkan Pelan Induk Wakaf Nasional 2025 - 2030 pada tahun hadapan, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama).
Datuk Mohd Na'im Mokhtar berkata Jabatan Wakaf Zakat dan Haji (JAWHAR) dan Yayasan Waqaf Malaysia (YWM) kini sedang dalam proses merangka pelan berkenaan dengan YWM akan dijadikan sebagai agensi pusat untuk menyatukan dana wakaf di peringkat agensi Persekutuan, sektor korporat dan perbankan Islam yang mempunyai cawangan di seluruh negara.
Bagaimanapun jelasnya, bagi tujuan memperkasakan dan menyelaraskan pengurusan dan pentadbiran wakaf di negara ini, pihaknya akan turut bekerjasama dengan Majlis Agama Islam Negeri-Negeri dan agensi Persekutuan dalam merangka pelan berkenaan.
"Kita nak selaraskan pentadbiran wakaf di negeri-negeri sebab kita tahu Majlis Agama Islam Negeri-Negeri adalah pemegang tunggal wakaf di negeri masing-masing.
"Jadi dengan adanya pelan induk ini, kita akan dapat menyelaraskan pentadbiran supaya manfaat daripada wakaf ini akan benar-benar dapat menjana ekonomi, sama ada di negeri tersebut ataupun di negara kita," katanya dipetik.
Sementara itu Mohd Na'im dalam ucapannya berkata instrumen wakaf mempunyai peranan yang sangat ampuh untuk membangunkan ummah.
"Pendanaan wakaf secara berterusan amat penting bagi memastikan kelestarian wakaf di Malaysia.
"Bagi tujuan ini, pelaksanaan wakaf ekonomi atau wakaf produktif perlu diambil kira dalam setiap pembangunan wakaf bagi menghasilkan pulangan atau keuntungan, yang kemudiannya digunakan untuk tujuan sosial," tambah Mohd Na'im.
Comments