![](https://static.wixstatic.com/media/4449e2_d1c2907778614103a23036a3284ddfcb~mv2.jpeg/v1/fill/w_660,h_454,al_c,q_80,enc_auto/4449e2_d1c2907778614103a23036a3284ddfcb~mv2.jpeg)
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Senator Fuziah Salleh melancarkan 'Aduan Suri' dan Peremajaan Semula Saluran Aduan Kepenggunaan bagi menggalakkan rakyat membuat aduan pengguna dengan kaedah yang lebih mudah.
Pelancaran tersebut bersempena Karnival Jualan Rahmah di Kompleks Belia dan Sukan, Alor Setar, Kedah pada Khamis.
Menurut Fuziah, langkah untuk melancarkan semula saluran-saluran aduan kepenggunaan sedia ada dibuat dengan penambahbaikan agar sistem tersebut lebih mesra pengguna.
"Pelancaran ini berfokuskan kepada suri rumahtangga yang berurusan dengan pembelian barang “keperluan” secara harian dan berdepan secara langsung dengan sebarang isu kenaikan harga yang melampau serta kekurangan bekalan.
"Besar hasrat Kementerian melalui pendekatan baharu ini para suri rumahtangga dapat menjadi mata dan telinga, juga rakan strategik Kementerian dalam memberikan maklumat sahih dari lapangan di seluruh Malaysia.
"Dengan mempermudahkan aduan dibuat oleh suri rumahtangga, KPDN berharap secara tidak langsung mereka akan menjadi rakan strategik kementerian di lapangan,” katanya dalam kenyataan.
Pada program itu, Fuziah turut melancarkan QR Code saluran "Aduan Suri' melalui aplikasi Whatsapp.
Melalui mekanisme tersebut pengadu hanya perlu mengimbas QR Code disediakan dan terus disalurkan ke aplikasi Whatsapp aduan KPDN.
"Dengan kemudahan ini diharap pengguna dapat memanfaatkan semua saluran aduan yang disediakan serta dapat membantu Kerajaan dalam membanteras salah laku peniaga atau sebarang pelanggaran terhadap undang-undang di bawah seliaan KPDN.
"Sekaligus membentuk masyarakat Malaysia yang mampu bertindak dan berdaya upaya dalam memperkasakan hak-hak sebagai pengguna," katanya.
Sehingga kini, KPDN telah menyediakan sembilan saluran aduan tetapi majoriti yang digunakan adalah enam saluran aduan kepenggunaan daripada pelbagai platform, bertujuan meningkatkan lagi tahap keberkesanan dan kemudahan pengguna membuat aduan.
Pengguna boleh membuat aduan melalui :
(i) Talian Whatsapp: 019-279 4317 / 019-848 8000
(ii) Aplikasi telefon Pintar: EzAdu;
(ii) Portal e-Aduan: https://e-aduan.kpdnhep.gov.my;
(iv) Talian Hotline: 1-800-886-800;
(v) Emel (e-aduan@kpdn,gov.my); dan
(vi) Enforcement Command Centre (ECC): 03-8882 6245 / 6088;
Comments