
Oleh: Akmal Manaf
Kerajaan kekal komited untuk menangani isu banjir yang melibatkan pelbagai kawasan di negara ini melalui pelbagai inisiatif.
Perdana Menteri (PM), Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sejak tahun lalu, pihaknya telah memutuskan bukan sahaja meneruskan tetapi mempercepatkan proses (tebatan banjir).
Anwar menjelaskan, mempercepatkan proses bermakna pengambilan tanah oleh kerajaan negeri disegerakan.
''Semalam saya dengan Menteri Besar Kelantan (Datuk Mohd Nassuruddin Daud) turut menyentuh isu ini kerana projek harus disegerakan di Kelantan (yang menghadapi masalah terbesar banjir).
''Kemudian tentunya di negeri-negeri lain seperti Terengganu, Johor dan Kedah.
''Kita (kerajaan) telah menetapkan dan meluluskan sebanyak 126 projek (berkaitan banjir) dengan kos RM22.57 bilion.
''74 (projek) dalam pelaksanaan, manakala 35 (projek) berada dalam fasa pra pelaksanaan,'' katanya ketika sesi Pertanyaan Perdana Menteri (PMQT) di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menerangkan demikian sebagai menjawab pertanyaan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (Muda-Muar) yang ingin tahu apakah langkah proaktif kerajaan menangani banjir pada setiap kali musim monsun serta faktor luar jangka di kawasan yang sering dilanda banjir serta berpotensi dilanda banjir pada masa akan datang.
Menjelaskan lebih terperinci, Anwar yang juga Menteri Kewangan menyifatkan, projek tebatan banjir merupakan projek yang perlu diberikan keutamaan.
''TPM 2 (Datuk Seri Fadillah Yusof), malah Pegawai Ketua Setiausaha Negara (KSN) turut tugaskan untuk menyelaras.
''Umpamanya Projek Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) Sungai Golok. Pengambilan tanah sebelum ini lebih 24 bulan dan kerajaan negeri beri jaminan diselesaikan dalam tempoh 6 bulan supaya kita boleh bergerak segera.
''Kemudian kita mempercepatkan.. dulu kalau di Rantau Panjang ada fasa 1, 2 dan 3 dan sekarang disekalikan ketiga-tiga fasa itu.
''Dengan menyegerakan, bermakna pertambahahan sebanyak RM2 bilion, tetapi dalam masa sama, apabila disegerakan kita dapat jimat RM1.7 bilion melibatkan ketiga-tiga fasa PLSB,'' katanya lagi.
Comments