
Program jualan murah bagi membantu rakyat mendapatkan barangan keperluan pada harga lebih berpatutan menjelang musim perayaan akan diperluaskan.
Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga Pengerusi Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) berkata program jualan murah itu merangkumi Jualan Rahmah MADANI, Jualan Pra Syawal di Pasar Tani, dan Jualan Agro MADANI.
"Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) memberi jaminan bahawa bekalan 11 komoditi agromakanan utama, termasuk beras, kelapa, ayam, dan telur ayam, adalah mencukupi sepanjang Ramadan dan persiapan Aidilfitri," katanya dalam kenyataan.
Dr Ahmad Zahid menerusi kenyataan tersebut memaklumkan, perkara itu dibincangkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif NACCOL Bilangan 1 Tahun 2025 yang diadakan semalam.
Turut hadir pada perbincangan itu adalah Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali dan Timbalannya Dr Fuziah Salleh, pegawai kanan kementerian, wakil kerajaan negeri, pihak industri, dan badan bukan kerajaan.
Sementara itu beliau turut memaklumkan, mesyuarat turut membincangkan isu peningkatan inflasi kos perubatan.
Bagi menangani isu itu, beberapa langkah telah dikenal pasti bagi mengekang kenaikan premium Takaful Perubatan dan Kesihatan (MHIT), termasuk pengagihan kadar pelarasan premium, penangguhan pelarasan premium, pengaktifan semula dan penyediaan produk alternatif.
Dalam masa sama jelasnya, mesyuarat turut meneliti inisiatif Pertubuhan Keselamatan Sosial dalam memperkukuh perlindungan sosial dan pemadanan pekerjaan bagi mengurangkan jurang pendapatan rakyat.
Antara inisiatif yang akan dipertingkatkan termasuk memastikan pemadanan pekerjaan yang lebih cekap, menyediakan insentif kepada majikan bagi pengambilan pekerja daripada kumpulan yang lebih memerlukan, serta memperkukuh perlindungan sosial untuk memberi jaminan ekonomi yang lebih baik kepada pekerja dan keluarga mereka.
"Kerajaan kekal komited untuk melaksanakan pelbagai inisiatif bagi menangani cabaran kos sara hidup, termasuk melalui program peningkatan pendapatan, jualan murah, dan bantuan tunai.
"Langkah-langkah ini adalah sebahagian daripada usaha berterusan bagi memastikan kesejahteraan rakyat terus terjamin dalam menghadapi cabaran ekonomi semasa," katanya.
Comments