Pertubuhan memperjuangkan kebebasan media, Gerakan Media Marah (Geramm) membantah campurtangan kerajaan Perikatan Nasional (PN) menghalang agensi selain yang dibenarkan membuat liputan sesi Parlimen 2 November hingga 23 Disember ini.
Menurut Geramm, hanya 15 organisasi media dibenar beroperasi mewakili 14 agensi tempatan dan satu agensi antarabangsa yang dipilih dengan alasan untuk mematuhi prosedur operasi standard bagi mengekang penularan wabak Covid-19, adalah tidak masuk akal.
"Lebih malang lagi, senarai tersebut tidak melibatkan mana-mana portal online tempatan untuk hadir membuat liputan di sidang parlimen yang turut merangkumi pembentangan Bajet 2021.
"Setiap agensi selain RTM dan Bernama hanya dibenarkan menghantar seorang wartawan dan seorang jurugambar atau juru video, serta diwajibkan menjalankan ujian saringan Covid-19 sebelum bertugas.
"Dengan tetap mengambil kira kepentingan menjaga keselamatan semua pihak, terutama #kawangeramm di lapangan, Geramm tegas membantah sebarang tindakan yang dilihat sebagai sekatan ke atas kebebasan media dalam menjalankan tugas.
"Sebaliknya, kami menyeru pihak bertanggungjawab bagi membantu memudahkan urusan media bertugas dengan menyediakan ruangan lebih luas di Parlimen untuk memenuhi prosedur penjarakan fizikal," kata kenyataan berkenaan.
Bagi Geramm, sesi kali ini yang melibatkan pembentangan Belanjawan 2021 memerlukan wartawan bertanya kepada Ahli-ahli Perlimen mengenai peruntukan-peruntukan yang diagihkan.
Begitu juga perbahasan hangat meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan (Belanjawan) 2021 perlu dilaporkan secara bebas.
"Media berperanan penting untuk menyoal perancangan yang telah dirangka menggunakan wang rakyat.
"Oleh itu adalah amat penting bagi pihak pengurusan Parlimen membuka ruang yang luas kepada semua organisasi media untuk hadir membuat liputan .
"Geramm menyeru agar larangan pergerakan yang dikenakan kali ini tidak akan dijadikan alasan oleh mana-mana Ahli Parlimen atau menteri untuk mengelak dari menjawab apa-apa persoalan yang timbul.
"Antara peranan utama media adalah untuk 'menjaga kerajaan' agar tetap berperanan mengikut lunas undang-undang dan tidak melampaui batas. Sebaliknya kerajaan tidak perlu 'menjaga media' kerana 'media jaga media'!" kata kenyataan itu lagi.
Geramm dengan itu mengumumkan bersolidariti dengan media-media yang didiskriminasi oleh kerajaan Perikatan Nasional.
コメント