top of page

Kerajaan hormati hak berhimpun, polis akan jadi pemudah cara - Saifuddin



Himpunan anti rasuah anjuran mahasiswa dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang dijadualkan esok di ibu kota Kuala Lumpur mendapat keizinan untuk diteruskan.


Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, mesyuarat Jemaah Menteri pagi tadi telah dimaklumkan mengenai keterbukaan Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk membenarkan rakyat berhimpun di bawah Perkara 10 Perlembagaan, namun penganjur dan peserta perlulah mematuhi Akta Perhimpunan Aman.


"Saya maklumkan bahawa KDN di pihak Kerajaan, kita sentiasa menghormati hak kebebasan berhimpun yang telah diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan kepada setiap rakyat Malaysia.


"Saya tekankan pada masa yang sama, sudah tentu kita ada Akta Perhimpunan Aman. Yang menjelaskan peranan peserta himpunan, penganjur dan juga pihak polis. Jadi saya telah pun bercakap dengan Tan Sri Peguam Negara (mengenai perhimpunan itu)," katanya dalam sidang media di Jeli, Kelantan.


Menurut Saifuddin, pihaknya memutuskan dalam himpunan itu polis akan memainkan peranan menjaga keselamatan peserta dan orang awam, termasuk mengawal lalu lintas manakala peserta akan bebas berhimpun secara aman.


"Esok pihak polis akan facilitate atau menjadi pemudah cara himpunan. Ya, sebab ini adalah sebuah kerajaan yang menghormati prinsip kebebasan berhimpun dan bersuara.


"Itu berbeza sama sekali dengan tuduhan yang mengatakan sekatan diberikan. Yang kita sebut adalah tengok balik peruntukan dalam Akta Perhimpunan Aman. Apa maksud peserta perhimpunan?


"Apa maksud penganjur, tugas penganjur dan juga pasukan polis? Jadi kabinet tadi ambil maklum dan bersetuju dengan penerangan yang saya sampaikan," katanya.


Tegas Saifuddin, beliau telah pun menghubungi Ketua Polis Negara (KPN) untuk menurunkan anggota secukupnya bagi menjaga ketenteraman.


Manakala bagi penganjur pula, tanggungjawab mereka untuk patuh kepada Akta Perhimpunan Aman.


"Saya sudah bercakap dengan Tan Sri Razarudin (KPN). Jadi dari segi keanggotaan yang munasabah (diturunkan) untuk pastikan kita jadi pemudah cara. Tetapi tanggungjawab penganjur dan peserta (misalnya) mereka tak boleh bawa senjata tajam, dia tak boleh bawa anak di bawah umur dan sebagainya," katanya lagi.


Dalam pada itu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang ditemui pemberita tengah hari tadi berkata beliau tidak mempunyai masalah dengan himpunan anti rasuah.


Cuma Anwar berpesan agar rakyat juga melihat isu isu baharu yang telah berjaya ditangani kerajaan, bukan berkisar kepada isu rasuah lama.


"Soalnya, rasuah ini yang dibangkit-bangkit sekarang - saya jadi Perdana Menteri selama dua tahun, apa dia masalah rasuah? Ini yang boleh ditumpukan.


"Dia (sesetengah pihak) bangkit soal-soal lama. Ya lah sebahagian kita selesai, sebahagian tak mampu kita selesai. Bila kita bangkitkan soal kehilangan berbilion-bilion ringgit, tak ada pula suara (dari pembangkang), tak ada pula sokong, malah ada yang mempertahankan pula.


"Kalau kamu orang kaya berbilion ringgit, ramai penyokong-penyokong. Pertahankan. Sekarang nak suruh lawan rasuah. Saya 'komited', kalau ada mana-mana pimpinan terbabit, beritahu, tiada masalah, kita akan tekan mereka," katanya dipetik.


Himpunan bertemakan ‘Rakyat Benci Rasuah’ dijadualkan akan berlangsung esok di hadapan Kompleks Sogo di Jalan Tuanku Abdul Rahman di Kuala Lumpur sebelum peserta berarak ke Dataran Merdeka.


Selain kumpulan anak muda dan NGO, pembangkang PN turut menyatakan hasrat mereka untuk menyertai himpunan itu.

0 comments

Recent Posts

See All

Comentários


PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
8,075
76
15,456
Total
2,285,640
26,759
2,116,021

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
393,631
6,015
582,401
Total
236,060,214
4,821,346
211,396,635

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

bottom of page